top of page

Rasuah: Jurutera daerah antara 6 ditahan SPRM, babitkan projek jutaan ringgit


Mahkamah membenarkan tahanan reman selama lima dan tujuh hari terhadap mereka selepas mendengar permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini. - Foto Astro AWANI

JOHOR BAHRU : Seorang jurutera daerah antara enam individu yang direman kerana disyaki memberi dan menerima rasuah bagi mendapatkan projek yang ditawarkan sebuah agensi Pusat di Mersing, Johor, sejak 2018.


Penolong Pendaftar, Faridatul Farrah Mohd Shukri, membenarkan tahanan reman selama lima dan tujuh hari terhadap mereka selepas mendengar permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.


Kesemua suspek berusia antara 31 hingga 44 tahun itu dipercayai mengawal 11 syarikat yang didaftarkan atas nama mereka dan menjadi proksi untuk membolot projek agensi Pusat berkenaan yang ditawarkan di daerah itu.


Antara yang ditahan bagi membantu siasatan adalah seorang penolong jurutera wanita berusia 30-an yang direman selama lima hari bermula hari ini sehingga 30 Julai ini, manakala lima individu lain direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 1 Ogos depan.


Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan jika didapati bersalah.


Terdahulu, SPRM menahan enam individu termasuk seorang jurutera daerah dan dua penolong jurutera sebuah agensi pusat di Johor kerana disyaki menerima rasuah dari kontraktor di daerah yang dikawal selia mereka, kira-kira jam 9 pagi semalam.


Menurut sumber, tiga kontraktor turut ditahan bagi membantu siasatan kerana didakwa merasuah ketiga-tiga suspek bagi mendapatkan projek ditawarkan oleh agensi berkenaan di sebuah daerah di Johor sejak 2018.


Projek yang dimonopoli juga mencecah jutaan ringgit sejak 2018 hingga tahun ini, selain pelbagai bentuk suapan rasuah diberikan kepada ketiga-tiga suspek termasuk pakej percutian, wang tunai dan barang berharga termasuk sebuah bot laju.


Pengarah Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu namun enggan mengulas lanjut.


Sumber: Astro Awani

1 view

Comments


bottom of page