KUALA LUMPUR: Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) memaklumkan pihaknya tidak mempunyai kaitan dengan isu pemberian tender bagi kerja-kerja baik pulih eskalator berhampiran Stesen LRT Sri Rampai.
Ini kerana kemudahan berkenaan terletak di luar kawasan Stesen LRT Sri Rampai, sekali gus di luar bidang penyelenggaraan Rapid Rail.
Syarikat berkenaan menjelaskan, tender projek baik pulih eskalator itu sebenarnya di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Pihak kami mengesan ada laporan di media sosial dengan tajuk berita mempersoalkan pemberian tender baik pulih eskalator berdekatan LRT Sri Rampai yang telah menyebabkan kekeliruan dan mengundang kecaman warganet terhadap Rapid Rail.
"Eskalator ini menghubungkan parkir bertingkat, kawasan kediaman, jejantas pejalan kaki serta laluan akses menuju masuk ke Stesen LRT Sri Rampai. Fasiliti ini diselia dan diselenggara oleh PBT," katanya ketika dihubungi BH hari ini.
Katanya, Rapid Rail sentiasa bekerjasama dengan PBT bagi memastikan kemudahan fasiliti awam yang terhubung dengan stesen-stesen rel di bawah syarikat berkenaan diselenggara dan dijaga baik.
"Pengalaman penumpang semasa perjalanan yang disokong fasiliti mesra pengguna adalah elemen penting dalam memastikan kemudahan dan keselesaan penumpang pengangkutan awam ke arah menjadikan Bandaraya Kuala Lumpur bandar bertaraf dunia," katanya.
Dalam laporan satu portal berita, pihak yang bertanggungjawab dalam pemberian tender baik pulih eskalator itu didakwa memberikan tugas kerja baik pulih kepada satu syarikat pakaian, sekaligus mendapat kecaman orang ramai.
Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Facebook rasminya, memaklumkan kerja-kerja penyelenggaraan eskalator berdekatan Stesen LRT Sri Rampai sudah dilaksanakan dan kemudahan itu telah mula beroperasi selepas mendapat pengesahan keselamatan.
Sumber: Berita Harian
Comments