Tidak ada sesiapa boleh menafikan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor menjadi game-changer atau pengubah padang permainan sosioekonomi kerana ia bukan sahaja memacu rangkaian pengangkutan tanah air, bahkan menghasilkan limpahan ekonomi yang boleh merapatkan jurang pembangunan wilayah.
Projek bernilai lebih RM50 bilion itu diunjurkan bakal menyumbang pertumbuhan ekonomi Malaysia secara signifikan, selain memberikan suntikan rangsangan kepada daerah dan pekan yang menempatkan stesen seperti Pasir Puteh, Kelantan; Bandar Permaisuri dan Dungun, Terengganu; Cherating serta Temerloh, Pahang dan Serendah, Selangor.
Bagaimanapun sesuatu yang sejak dulu dibangkitkan adalah bagaimana projek pembinaan ECRL dapat memberikan peluang pekerjaan kepada anak tempatan dan sebanyak mana kek ekonomi itu turut dinikmati kontraktor tanah air termasuk Bumiputera, sekali gus tanda tanya sejauh mana Malaysia memperoleh manfaat daripada pemindahan kepakaran serta teknologi.
Justeru, kita menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) menjamin penyertaan kontraktor tempatan serta Bumiputera termasuk pekerja, perunding dan pembekal mencukupi.
Permintaan itu bukan sahaja signifikan kerana dibuat pada Majlis Pecah Tanah ECRL di Gombak, kelmarin, bahkan dengan kehadiran Perdana Menteri China, Li Qiang yang berada di sini sempena lawatan rasmi tiga hari untuk memperkukuh hubungan dua hala dan memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Walaupun projek berkenaan sudah mencapai 67 peratus pelaksanaan, kita yakin masih ada ruang untuk memastikan kerjasama kedua-dua syarikat mewakili kepentingan Malaysia dan China dapat menyediakan latihan kemahiran, pemindahan teknologi serta pendedahan kepada pemain serta pekerja tempatan. Bagaimanapun, ia pastinya perlu dilakukan mengikut tatakelola telus dan diberikan kepada entiti memiliki keupayaan, bukan sekadar tangkap muat atau atas 'kuota' Bumiputera semata-mata.
Dalam konteks ini, kita meminta lebih banyak inisiatif seperti Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) dijalankan bagi menawarkan latihan serta jawatan seperti juruelektrik, juruteknik tapak binaan, pembantu jurutera bangunan dan mekanik jentera berat.
Ia dijangka akan melatih seramai 1,800 pelatih tempatan untuk turut serta dalam fasa pembinaan Projek ECRL serta 3,200 pelatih tempatan bagi fasa pengoperasian dan penyelenggaraannya kelak.
Kita mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan kerajaan supaya apa-apa projek mega dilaksanakan pada masa depan bukan sahaja perlu mengambil kira penyertaan pekerja dan syarikat tempatan, bahkan merancang dengan teliti termasuk memberikan insentif kepada syarikat luar berbuat demikian serta membuat inisiatif yang dapat menggalakkan pembabitan rakyat, sekali gus memastikan pemindahan kepakaran serta teknologi berlaku.
Sumber: Berita Harian
Rancang awal inisiatif libatkan pekerja, syarikat tempatan dalam projek mega
Comments