Pusat sedia bantu Kedah teruskan projek KXP


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed (kiri) diiringi Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Noor selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman hari ini. - Foto BERNAMA

ALOR SETAR: Kerajaan Pusat sedia pertimbang permintaan Kedah yang mahu projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) membabitkan kos RM6.8 bilion diberi keutamaan dalam pelaksanaannya.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata beliau sudah menerima taklimat lengkap berkaitan KXP termasuk cadangan kaedah pembinaan dan pembiayaan projek mega terbabit.


Setakat ini, beliau berkata, kerajaan Pusat belum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan berkenaan, namun ia dijangka dipertimbang bagi dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"Mengikut taklimat yang disampaikan hari ini, projek KXP kini menjadi keutamaan tertinggi kerajaan negeri, namun kaedah pembiayaannya sama ada melalui pinjaman atau penswastaan belum diputuskan lagi.


"Projek ini dijangka memerlukan peruntukan sehingga RM6.8 bilion iaitu membabitkan RM2.5 bilion bagi mengambil alih tanah, RM2.5 bilion bagi pembinaan terminal dan landasan serta RM1.8 bilion bagi pembinaan lebuh raya menghubungkan Kulim ke Sungai Petani," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.


Terdahulu, Mustapa menerima taklimat berhubung projek berkenaan dari kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor.


Selain itu, Mustapa berkata, kerajaan kini berusaha mengurangkan kadar kemiskinan rakyat dan merapatkan jurang pembangunan antara negeri.


"Di bawah RMK-12, kerajaan meneruskan usaha membantu lebih ramai rakyat yang hidup bawah paras kemiskinan melalui pelaksanaan projek pembangunan di negeri dan daerah serta mengelak mana-mana kawasan tercicir.


"Disebabkan itu, kita meneruskan proses libat urus RMK-12 bagi mendengar pandangan akar umbi, namun sebarang keputusan mengenai sesuatu pembangunan bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan Pusat," katanya.


Sumber: Berita Harian


#evolusibina #Kedah

2 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.