GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang bersedia dari segi tapak untuk pembinaan kolam takungan dan paip pembekalan untuk menerima air terawat dari Sungai Perak melalui projek pembangunan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP).
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) juga kini sedang dalam tindakan untuk menyelesaikan proses pengambilan balik tanah bagi lot-lot yang terlibat.
"Perincian garis masa masih belum dibincangkan secara terperinci kerana kerajaan Perak kini sedang dalam usaha untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan bagi memulakan projek Fasa 1.
"Kerajaan negeri sememangnya sudah memulakan 'forward-planning'. Ia bagi memastikan apabila projek itu siap, kita sudah bersedia di Pulau Pinang dengan infrastruktur paip dan kolam-kolam takungan," katanya dalam ucapan penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Khamis.
Zairil (DAP-Tanjung Bungah) berkata, Projek Pemindahan Air Sungai Perak merupakan projek penyelesaian jangka masa panjang bagi memenuhi permintaan air menjelang 2050.
"Di samping itu, PBAPP turut mengambil inisiatif untuk melaksanakan Pelan Kontingensi Air (WCP 2030) dengan pelaburan sebanyak RM1.18 bilion bagi membangunkan lapan projek utama infrastruktur pembekalan air untuk memenuhi permintaan air sehingga tahun 2030.
"PBAPP juga sentiasa meneroka sumber-sumber baharu yang berpotensi untuk dijadikan sumber bekalan air tambahan bagi Pulau Pinang. Bagaimanapun, kajian kebolehlaksanaan perlu dilaksanakan terlebih dahulu bagi memastikan keperluan-keperluan teknikal dari segi kualiti dan kuantiti sumber tersebut untuk dijadikan sumber air adalah dipenuhi," katanya.
Awal bulan ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bersetuju untuk membekalkan air ke Pulau Pinang dari Sungai Perak.
Anwar berkata, pembekalan itu akan melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian sehingga ke kawasan Seberang Perai.
Menurutnya, fasa pertama, bekalan air tersebut akan meliputi kawasan SPS termasuk Nibong Tebal dan Sungai Bakap.
Dalam pada itu, menjawab mengenai implikasi laporan pencemaran air di Sungai Perak terhadap kebolehlaksanaan projek tersebut, Zairil berkata, laporan akhir kajian yang dilaksanakan oleh perunding dilantik Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyatakan bahawa kapasiti air sungai Perak mencukupi untuk pembekalan air kepada utara Perak dan Pulau Pinang bagi memenuhi permintaan air menjelang tahun 2050.
"Laporan tersebut bagaimanapun tidak menyatakan bahawa terdapat masalah dengan kualiti air di sungai tersebut.
"Justeru, kerajaan negeri mengambil pendirian untuk menerima laporan akhir kajian oleh kementerian yang berasaskan kepada kajian dan persampelan in- situ di lokasi berkenaan oleh pakar bertauliah," katanya lagi.
Sumber: Sinar Harian
Comentarios