top of page

Pulau Pinang mahu penjelasan mengenai status projek PPR


Gambar hiasan

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menjelaskan status terkini Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini.


Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow telah bertanyakan kepada KPKT pada 11 Ogos mengenai pelaksanaan projek PPR di seluruh negara tahun ini dan jumlah kosnya.



Beliau berkata, KPKT membalas dengan sepucuk surat rasmi menyatakan bahawa walaupun tiada projek PPR baharu yang diluluskan, 11 projek PPR sedia ada di bawah Rolling Plan keempat tahun ini telah dilaksanakan dengan jumlah anggaran kos sebanyak RM890 juta.


“Menurut surat itu, pelaksanaan projek PPR yang diluluskan terletak di Johor, Negeri Sembilan, Perlis, Terengganu, Pahang, Kelantan dan Sabah. Pulau Pinang tidak termasuk,” katanya pada sidang media di sini hari ini.


Beliau memetik kenyataan daripada Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Seri Mohammad Mentek pada Disember tahun lepas yang menyatakan bahawa kerajaan Persekutuan akan membina 14 projek PPR pada 2020.


“Kami mahukan penjelasan daripada KPKT mengenai status projek PPR di Pulau Pinang. Kami berharap kementerian akan mengkaji dan mempertimbangkan semula untuk memberi keutamaan kepada Pulau Pinang (dengan meluluskan projek PPR kami),” katanya. - Bernama


Sumber: Sinar Harian


6 views
bottom of page