top of page

PROLINTAS guna sistem pintar S3 pantau lebuh raya


PROLINTAS kini menggunakan Sistem Pemantauan Lebuh Raya berteraskan teknologi pintar PROLINTAS Smart Surveillance System (S3) dalam pengurusan operasi. - Foto PROLINTAS

KUALA LUMPUR: Kumpulan Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) kini menggunakan Sistem Pemantauan Lebuh Raya berteraskan teknologi pintar PROLINTAS Smart Surveillance System (S3) dalam pengurusan operasi semua lebuh raya seliaannya bermula pada 19 Ogos lalu.


PROLINTAS dalam kenyataannya, berkata ini ia sekali gus menjadikannya syarikat konsesi pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi sedemikian yang meliputi Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Kajang SILK (SILK).


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohammad Azlan Abdullah, berkata S3 bertujuan meningkatkan tahap kecekapan operasi lebuh raya merangkumi aspek pemantauan, pengesanan kerosakan, kemalangan, objek asing, kawasan air bertakung serta kehadiran haiwan liar.


"Ini adalah sebahagian daripada keupayaan sistem ini selain penstriman video, notifikasi dan pelaporan pada masa nyata.


"Teras utama S3 adalah penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin dikenali AISYA (sistem analisis AI) yang berperanan memproses imej dan pengecaman, pengkelasan, analisis data dan laporan digital seterusnya memberikan notifikasi kepada petugas melalui aplikasi mudah alih serta web," katanya.


Beliau berkata, sejak penggunaanya S3 mengesan sebanyak 1,303 kes pada bulan pertama dan 440 pada bulan berikutnya dengan lebih 50 peratus kes kerosakan permukaan dan aset lebuh raya sudah dibaik pulih menerusi notifikasi masa nyata S3.


Selain itu, PROLINTAS turut melancarkan sistem aplikasi pengurusan operasi lebuh raya PROLINTAS Integrated Maintenance Escalations (PRIME) yang dibangunkan menggunakan platform Microsoft Kaizala & Flow.


"Pembangunan PRIME membantu proses penjanaan modul automasi bagi penjadualan kerja-kerja penyelenggaraan dan pendigitalan yang mana borang manual akan digantikan dengan kad tindakan menerusi platform Microsoft Kaizala," kata syarikat itu.



9 views
bottom of page