top of page

Projek Stesen RTS bakal dilancarkan 22 November


(Gambar fail) Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar. -FOTO IHSAN FACEBOOK SULTAN IBRAHIM ISKANDAR

JOHOR BAHRU: Projek Stesen Sistem Transit Rapid (RTS) di Bukit Chagar, di sini, yang menghubungkan Johor Bahru dengan Woodlands, Singapura, bakal dilancarkan pada 22 November ini sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Johor.


Perkara itu diumumkan dalam akaun Facebook rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, hari ini.


Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Mohd Zarif Hashim, di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru, hari ini.


Pada pertemuan itu, Mohd Zarif mempersembahkan perkembangan projek terbabit kepada Sultan Johor, sebagai kesinambungan kepada pembentangan Belanjawan 2021, Jumaat lalu.


"Antara perkara disentuh ialah pelancaran projek stesen RTS secara maya dan draf reka bentuk stesen itu. Kerja akan dimulakan sekitar hujung bulan ini selepas pelancaran," katanya kepada Royal Press Office (RPO).


Yang turut hadir pada sesi menghadap itu, Pengarah Tanah dan Galian Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir, serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Datuk Adib Azhari Daud.


Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika membentangkan Belanjawan 2021 berkata kerajaan komited melaksanakan projek infrastruktur pengangkutan bagi meningkatkan kemudahsampaian rakyat.


Justeru, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM15 bilion, selain akan meneruskan beberapa projek seperti RTS dari Johor Bahru ke Woodlands.


Sementara itu, Sultan Ibrahim turut berkenan untuk sebuah pertandingan dianjurkan bagi hiasan 'facade' stesen berkenaan.



21 views
bottom of page