top of page

Projek rumah baharu di Perlis, Kedah disedia gentian optik


Projek rumah baharu di Perlis, Kedah disedia gentian optik Berita Harian www.bharian.com.my
Gambar hiasan: Projek rumah baharu di Perlis, Kedah disedia gentian optik

ALOR SETAR: Anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Bhd (TNB), Allo Technology Sdn Bhd (Allo) dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Kedah/Perlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menyediakan gentian optik untuk projek-projek hartanah baharu di Kedah dan Perlis.


Kerjasama selama dua tahun itu sekali gus bakal melengkapkan projek hartanah baharu terpilih daripada ahli REHDA Kedah/Perlis dengan infrastruktur jalur lebar gentian optik Allo.


Ketua Pegawai Eksekutif Allo, Ir Mohamed Ghous Ahmad, berkata kerjasama itu memberi peluang kepada ahli-ahli REHDA Kedah/Perlis untuk tampil dengan penawaran jualan unik bagi projek hartanah yang dibangunkan serta meluaskan tawaran penyelesaian kesalinghubungan oleh Allo.


"Ia akan memberi nilai tambah kepada projek hartanah yang dilaksanakan REDHA dan pembeli hartanah kini tidak lagi perlu menunggu infrastruktur jalur lebar disediakan di kawasan mereka kerana mereka akan menerima harta milik kosong yang telah tersedia dengan infrastruktur jalur lebar.


"Kerjasama ini selaras dengan saranan kerajaan yang mahukan capaian internet untuk menjadi utiliti ketiga di setiap rumah. Seruan itu adalah dengan melaksanakan sinergi antara pihak pemaju perumahan dan syarikat telekomunikasi agar matlamat yang digariskan dalam inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) dapat direalisasikan," katanya pada majlis MoU antara Allo dan REHDA Kedah/Perlis di sini, hari ini.


Beliau memeterai MoU itu bagi pihak Allo, manakala REHDA Kedah/Perlis diwakili Pengerusi, Yeoh Su Guan.


Ia disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan dan Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam Kedah, Dr Robert Ling Kui Ee.


Mengulas lanjut, Mohamed Ghous berkata bagi negeri Kedah, Allo melengkapkan lebih 33,000 kediaman di beberapa kawasan termasuk Mergong, Aman Jaya, Kuala Ketil, Sungai Petani dan Kulim.


"Tumpuan kerjasama ini juga membolehkan lebih ramai penduduk memiliki jalur lebar di rumah mereka terutama dalam kalangan keluarga kategori B40 bagi merapatkan jurang digital dalam masyarakat," katanya.


Sementara itu, Su Guan berkata kerjasama strategik antara REDHA dan Allo itu penting bagi membolehkan penawaran hartanah menarik yang lengkap.


"Bila ada perumahan mesti ada talian jalur lebar kerana perkembangan teknologi telah mengubah cara komunikasi dan gaya hidup masyarakat yang memerlukan capaian internet dalam menjalankan aktiviti harian antaranya perbankan, pendidikan dan pekerjaan.


"Jadi, dengan MoU ini ia dapat memberi kemudahan kepada mereka yang sedang mencari rumah untuk diduduki," katanya.


Sumber: Berita Harian

Comments


bottom of page