
JEMPOL: Selepas lapan tahun terbengkalai, generasi kedua FELDA Pasoh Tiga mahu projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) di tanah rancangan itu disiapkan segera.
Anak peneroka FELDA, Zulkifli Ahmad, 54, berkata FELDA perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah itu berikutan perumahan menjadi keperluan utama bagi generasi baharu di kawasan berkenaan.
Katanya, ketika ini generasi baharu yang tinggal di tanah rancangan tinggal bersama ibu bapa, menyebabkan mereka terpaksa bersesak beramai-ramai dalam sebuah rumah.
"Jika kami generasi baharu adalah anak tunggal dalam keluarga, tiada keperluan untuk mendapatkan rumah berkenaan, tetapi keadaan sebaliknya berlaku menyebabkan kami mendesak supaya projek perumahan itu perlu disiapkan segera.
"Projek PGFB sepatutnya sudah disiapkan, namun tidak tahu di mana silapnya hingga projek itu ditinggalkan menjadi belukar," katanya ketika ditemui.
Mohd Refaie Yusop,51, pula berkata PGBF sepatutnya disiapkan berikutan PGBF FELDA Pasoh Tiga antara projek terawal dilaksanakan di Negeri Sembilan.
Beliau berkata, keadaan sebaliknya berlaku kerana selepas lapan tahun terbengkalai, belum ada tanda-tanda pembinaan itu disambung semula.
"Kita bimbang jika masalah PGBF ini tidak diselesaikan, lebih ramai generasi baharu akan meninggalkan tanah rancangan dan membina kehidupan di luar," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui, Mohd Razi Mohd Ali berkata, PGBF FELDA Pasoh Tiga membabitkan 150 unit rumah kini berada dalam tindakan 'Request For Proposal' secara terbuka kepada pemaju berkemampuan.
Katanya, iklan tender bagi PGBF FELDA Pasoh Tiga akan dijalankan bulan depan dan sebelum pelantikan pemaju dibuat, beberapa proses perlu dilaksanakan.
"Tempoh proses berkenaan memerlukan masa enam bulan bagi prapembinaan, manakala kerja pembinaan pula dianggarkan mengambil masa 12 hingga 15 bulan untuk disiapkan," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments