Projek perumahan FGV dijangka siap hujung tahun ini



KUALA LUMPUR - FGV Holdings Bhd menjangkakan lima projek perumahan kumpulan itu yang sedang berjalan akan siap menjelang hujung tahun ini akan memberi manfaat kepada pekerja ladangnya di seluruh negara.


"Agenda ini tetap menjadi keutamaan walaupun FGV sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran. Kumpulan menyedari pekerja ladang kami adalah tulang belakang utama syarikat," kata Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau berkata, syarikat itu tetap gigih dalam mengambil langkah konkrit sejak beberapa tahun lepas dalam tujuan menambah baik kemudahan di ladangnya.


"FGV gembira kerana projek-projek ini berada di landasan yang betul walaupun berlaku sedikit kelewatan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.


Sejak tiga tahun sebelum ini, syarikat perladangan tersebut telah melabur RM350 juta untuk membina dan menaik taraf kemudahan perumahan.


Sehingga kini, ia telah menyiapkan 27 projek di Kuantan, Bera, Muadzam, Temerloh dan Kuala Lipis di Pahang; Semaring di Terengganu; Gua Musang di Kelantan; Trolak di Perak; Serting di Negeri Sembilan; Sampadi dan Miri di Sarawak; serta Sahabat dan Kalabakan di Sabah.


FGV mengendalikan 197 ladang yang terletak di seluruh Semenanjung, Sabah, Sarawak, dan Indonesia terutamanya di bawah FGV Plantations (Malaysia) Sdn Bhd. Ia turut memiliki syarikat perladangan lain termasuk Pontian United Plantations Bhd di Sabah dan Asian Plantations Ltd di Sarawak.


Selain daripada kediaman, FGV turut membina dewan masyarakat dan surau, padang rekreasi, kedai runcit termasuk pelbagai kemudahan untuk kepentingan pekerjanya.


Di Sabah, FGV bekerjasama dengan Kedutaan Indonesia untuk menubuhkan Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC) bagi membolehkan anak-anak daripada pekerja asing mendapat pendidikan asas.


Terdapat 11 CLC yang diwujudkan di ladang-ladangnya di Sabah iaitu sembilan di Sahabat, satu di Umas dan satu di Kalabakan, yang menerima bantuan separuh pembiayaan daripada FGV.


Sementara itu, FGV sedang memulakan projek 'Kedai FGV', yang mana pada masa hadapan, semua estetnya akan mempunyai kedai runcit atau pasar mini untuk membekalkan pekerja dengan produk segar termasuk barangan keperluan lain.


"Kami bekerjasama, sama ada dengan pemilik kedai sedia ada di kawasan berkenaan atau menukar bangunan yang tidak digunakan sebagai kedai runcit," tambah Haris Fadzilah.


Pekerja ladang boleh menggunakan e-dompet FGV di Kedai FGV untuk membuat pembelian tanpa tunai, yang merupakan satu lagi inisiatif berterusan oleh FGV bagi memperkasakan pekerjanya dengan keupayaan pengurusan kewangan peribadi yang lebih cekap.


Sistem e-dompet FGV yang berada di bawah inisiatif pengekalan program Pengambilan, Pengekalan dan Penghantaran Balik (3R) berjaya dilancarkan pada Februari lalu di Gua Musang, Kelantan, melibatkan 1,500 pengguna berdaftar di 11 estet di bawah kumpulan tersebut.


Menjelang suku pertama 2021, FGV menyasarkan untuk melaksanakan sistem ini bagi keseluruhan sektor perladangannya termasuk di Sabah dan Sarawak.


Pada penutup hari ini, saham FGV naik satu sen kepada RM1.07 dengan 2.55 juta saham diurus niagakan. - Bernama


Sumber: Sinar Harian


#evolusibina #Felda

1 view

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.