top of page

Projek penggantian paip Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dimulakan


Halim ketika meninjau projek penggantian paip di tapak projek Pakej 44C iaitu di selekoh Jalan FT54 berdekatan Masjid Jamek Sungai Plong, di Sungai Buloh, Selangor pada hari ini, 29 Oktober 2024.

SUNGAI BULOH: Projek penggantian paip di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya Tahun 2020: Pakej 44B & 44C – Petaling telah mula dilaksanakan di Jalan FT54, di sini.Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Abdul Halim Tamuri berkata, projek penggantian paip tersebut adalah sepertimana yang dimaklumkan dalam akaun Facebook beliau bertarikh 16 Oktober 2024.


“Pihak Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras telah menerima aduan berkenaan turapan sementara yang tidak sempurna dan membahayakan selepas kerja-kerja penggantian paip tersebut dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya, hari ini.


Beliau yang juga merupakan ADUN Paya Jaras telah pun melawat pemantauan ke tapak projek Pakej 44C tersebut.


“Pagi ini, saya membuat pemantauan ke tapak projek Pakej 44C iaitu di selekoh Jalan FT54 berdekatan Masjid Jamek Sungai Plong dan kerja penurapan sementara sedang dibuat oleh pihak kontraktor Air Selangor bagi menyelenggara semula jalan yang rosak dan mendap. 


“Seterusnya, saya turut memantau tapak projek Pakej 44B iaitu di Jalan FT54 berhampiran tapak pasar malam Paya Jaras,” ujarnya.


Sehubungan itu, Halim berterima kasih kepada syarikat Air Selangor kerana melakukan tindakan yang sewajarnya.


“Terima kasih kepada pihak Air Selangor yang mengambil tindakan untuk menyelenggara semula penurapan sementara. 


“Pihak pusat khidmat akan sentiasa memantau projek ini bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.


Comments


bottom of page