SHAH ALAM, 27 NOV: Kerajaan Negeri sedang melaksana projek pembangunan pekan Pelabuhan Klang menerusi empat fasa sejak April lalu.
EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata projek pembangunan fasa satu dan dua melibatkan kerja naik taraf kemudahan infrastruktur.
“Kerja-kerja naik taraf infrastruktur di Persiaran Raja Muda Musa, Jalan Syahbandar dan sekitar Pelabuhan Klang telah dimulakan pada 12 April lalu dengan kos RM797,361.
“Dianggarkan 97 peratus telah siap dan tinggal kerja-kerja premix sebelum disiapkan sepenuhnya,” katanya menjawab pertanyan wakil rakyat Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri di Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Suee Lim menambah, kerja naik taraf turut melibatkan laluan pejalan kaki, memulihkan pulau dan median, mengecat pier jejambat, membina tonggak jalan dan kerja landskap.
Beliau menjelaskan, projek pembangunan Pelabuhan Klang fasa tiga pula membabitkan kerja pembersihan dan fasa terakhir membabitkan cadangan meroboh dan membina semula tapak gerai sedia ada.
“Kerja seterusnya melibatkan fasa tiga iaitu kerja-kerja pembersihan ‘Pocket Park’ sedia ada, rekabentuk landskap plaza dan mercu tanda.
“Manakala bagi fasa empat cadangan melibatkan meroboh dan membina semula tapak gerai sedia ada dan menyediakan gerai berkonsepkan kontena di tapak baharu,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan peruntukan RM107 juta bagi pembinaan serta menaik taraf jalan Lingkaran Pulau Indah dan Pelabuhan Utara Klang dalam memacu sektor logistik negara.
Sumber: Selangor Kini
Comments