top of page

Projek MRT3 belum muktamad, kerajaan mahu kos RM50.2b diturunkan


Cadangan pelaksanaan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) masih belum dimuktamadkan.
Gambar hiasan: Cadangan pelaksanaan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) masih belum dimuktamadkan.

Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3)

KUALA LUMPUR: Cadangan pelaksanaan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dengan anggaran kos RM50.2 bilion bagi melengkapkan rangkaian rel bandar di Kuala Lumpur, masih belum dimuktamadkan.


Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2022) 2023 di Dewan Rakyat, hari ini, berkata kerajaan meminta anggaran kos itu diturunkan lagi.


"Ada pandangan ia boleh diturunkan sehingga RM45 bilion, kita tunggu cadangan mengenainya. Jarak MRT3 adalah 50.8 kilometer supaya dapat melengkapkan lingkaran (rel) itu. Jika tidak buat MRT3, kita tidak dapat melaksanakan keseluruhan perjalanan itu," katanya.


MRT3 Laluan Lingkaran dikatakan bahagian terakhir yang penting bagi melengkapkan rangkaian rel bandar di Kuala Lumpur, dengan jajaran yang melalui sepanjang perimeter bandar raya.


Ia akan mengelilingi Kuala Lumpur melalui kawasan berkepadatan tinggi, termasuk Setiawangsa, Titiwangsa, Mont Kiara, Pantai Dalam dan Pandan Indah.


Ahmad berkata, kerajaan juga akan melaksanakan kajian menyeluruh keberkesanan pelaksanaan projek MRT3 berbanding Transit Aliran Bas (BRT), dengan mengambil kira kesesuaian tempat, kadar trafik dan kos keseluruhan.


"Perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut bersama Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan," katanya.


Terdahulu, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) dalam perbahasannya meminta penjelasan sama ada Kementerian Kewangan akan membuat kajian perbandingan impak antara MRT3 dan BRT, mengambil kira faktor penggunaan perkhidmatan dan kos.


Sumber: Berita Harian


31 views

Comments


bottom of page