KUCHING, 20 Nov: Beberapa projek mega infrastruktur sedang dilaksanakan di Sarawak yang bertujuan meningkatkan jaringan lebuh raya dan telekomunikasi secara lebih terancang, sistematik, dan efisien.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, memaklumkan antara projek utama yang sedang dilaksanakan seperti Second Trunk Road/Coastal Highway, Sarawak Sabah Link Road (SSLR), Trans Borneo Highway, dan Northern Coastal Highway (NCH).
“Tujuan melaksanakan semua projek ini ialah bagi meningkatkan kesalinghubungan di antara kawasan bandar dan luar bandar di Sarawak,” katanya pada sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Jelasnya, projek Second Trunk Road/Coastal Highway, dana berjumlah RM220 juta telah disuntik oleh Kerajaan Sarawak bagi membolehkan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) menyelesaikan proses pengambilan balik tanah yang melibatkan jajaran jalan sepanjang 255.6 kilometer.
“Bagi projek Sarawak Sabah Link Road (SSLR), projek ini turut menunjukkan kemajuan positif, dengan sejumlah RM300 juta dana telah disalurkan kepada JTS.
“Pengambilan balik tanah yang melibatkan jajaran jalan sepanjang 122 kilometer dijangka selesai pada akhir tahun ini,” jelasnya.
Katanya yang juga merupakan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua Sarawak, baki jajaran jalan sepanjang 275.5 kilometer akan diselesaikan pada tahun 2025.
Sementara itu, bagi projek Northern Coastal Highway (NCH) pula, dana sebanyak RM20 juta telah disalurakan kepada JTS telah menyelesaikan proses pengambilan balik tanah bagi jajaran jalan sepanjang 6 kilometer pada penghujung tahun 2023.
Selain itu, peruntukan sebanyak RM140 juta diperlukan untuk menyelesaikan baki jajaran jalan sepanjang 82.7 kilometer.
“Bagi projek Trans Borneo Highway sepanjang 73.8 kilometer, JTS memerlukan peruntukan sebanyak RM194.45 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi pengambilan balik tanah.
“Kegagalan penyaluran dana bagi pengambilan balik tanah tersebut telah menyebabkan kerja-kerja pembinaan jalan yang dijadualkan pada November 2024 tidak dapat dimulakan,” tambahnya.
Sumber: TVS
Comments