Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai disyaki curi air


LOH Pit Mui menunjukkan contoh air terawat semasa operasi penguatkuasaan secara mengejut ke tapak pembinaan Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat di Jalan Bukit Perah, Kampung Olak Lempit, Kuala Langat Selangor, hari ini. - UTUSAN/ZULFAHLI ZAKI

KUALA LANGAT: Mengambil jalan mudah dengan membuat sambungan haram dari sebuah tapak pertanian untuk menjalankan pembinaan Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat sejak Januari lalu.


Kegiatan yang mengakibatkan Pengurusan Air Selangor Sdn.Bhd.(Air Selangor) kerugian berjumlah RM80,000 itu bagaiamanapun dapat dihidu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam satu operasi semalam.


Eksekutif Kanan Unit Komunikasi dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Loh Pit Mui berkata, pihaknya menjalankan operasi penguatkuasaan sejurus selepas menerima aduan daripada Air Selangor berhubung perkara tersebut.


“Siasatan mendapati satu sambungan ‘poly tee’ sebelum tetiang meter milik sebuah tapak pertanian berhampiran tapak projek tersebut. Kita mendapati sambungan ini disalurkan ke dalam kawasan tapak pembinaan iaitu di rumah kongsi pekerja.


“Semakan Air Selangor juga mendapati bahawa tapak projek tersebut tidak mempunyai meter air bekalan sah berdaftar.


“Sambungan paip sepanjang 200 meter tersebut dipercayai menyalurkan bekalan air ke dalam rumah kongsi bagi kegunaan harian dan lain-lain aktiviti berkaitan,” katanya dalam sidang akhbar di tapak pembinaan lebuh raya tersebut di Jalan Bukit Perah, Kampung Olak Lempit di sini hari ini.


Dalam pada itu, Pit Mui berkata, hasil ujian klorin di kolah takungan dalam kawasan rumah kongsi tersebut mendapati bahawa bekalan air yang diterima adalah air terawat yang dibekalkan oleh Air Selangor.


“Kita akan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang mana pihak disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.


“Selain itu, Air Selangor juga akan mengambil tindakan dengan menuntut kerugian atas segala kerugian setelah siasatan terperinci selesai dijalankan,” ujarnya.


Sumber: Utusan Malaysia


#evolusibina #Selangor

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.