Projek landskap ubah wajah bandar raya JB


Projek Landskap Sungai Segget serta kerja naik taraf Jalan Wong Ah Fook yang dijadual siap pada 2021 akan meningkatkan lagi imej pusat bandar raya Johor Bahru.

JOHOR BAHRU - Projek Landskap Sungai Segget serta kerja naik taraf Jalan Wong Ah Fook di bandar raya ini yang dijadualkan siap pada suku ketiga tahun depan akan meningkatkan lagi imej pusat bandar raya ini.


Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, transformasi tersebut melibatkan aktiviti rekreasi, kebudayaan dan komersial yang baharu.


"Pengindahan Sungai Segget dibahagi kepada tiga zon iaitu warisan dan sejarah, seni dan budaya serta santai dan ceria sekali gus akan mengubah wajah bandar raya ini secara keseluruhan.


"Apabila siap kelak, projek ini mampu membuka peluang baharu kepada masyarakat sekitar untuk meningkatkan perniagaan mereka dengan persekitaran bersih dan menarik serta dapat menarik kehadiran lebih ramai pengunjung," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Dalam pada itu, Ismail berkata, Projek Landskap Sungai Segget serta kerja naik taraf Jalan Wong Ah Fook kini berada pada tahap 23 peratus siap yang bakal menawarkan suasana persekitaran lebih sihat, ceria dan santai bagi penganjuran pelbagai aktiviti seni, budaya serta rekreasi.


Projek Landskap Sungai Segget serta kerja naik taraf Jalan Wong Ah Fook yang dijadual siap pada 2021 akan meningkatkan lagi imej pusat bandar raya Johor Bahru.


"Pembaharuan ini selari dalam usaha memenuhi agenda sosial tempatan dan alam sekitar apatah lagi projek itu menerapkan elemen fizikal yang digabungkan dengan arca seni serta budaya.


"Ia juga merupakan sebahagian Projek Pemulihan Sungai Segget dengan objektif meningkatkan kualiti air Sungai Segget bagi mengurangkan pencemaran di Selat Tebrau selain masalah banjir di pusat bandar raya, " jelasnya.


Sementara itu, Ismail berkata, Projek Pemulihan Sungai Segget meliputi tiga fasa dengan projek pengindahan landskap merupakan fasa ketiga dan terakhir bagi keseluruhan projek ini.


"Fasa pertama melibatkan kerja pembinaan Loji Rawatan Bersepadu Sungai Segget 2017 diikuti pembinaan Sistem Kumbahan dan Pencegahan Banjir di fasa kedua pada tahun sama manakala Fasa Ketiga pula adalah Projek Pengindahan Landskap Sungai Segget dan kerja naik taraf Jalan Wong Ah Fook yang sedang giat dilaksanakan," katanya.


"Pengindahan landskap di Sungai Segget mampu memberi nilai tambah kepada rancangan transformasi dan rejuvenasi bandar raya ini melibatkan projek seperti Wilayah Perniagaan Antarabangsa Ibrahim (IIBD) dan Projek Sistem Transit Rapid (RTS)," katanya.


Sumber: Sinar Harian


#evolusibina #Johor

4 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.