Tampin: Projek Landasan Berkembar Sistem Tren Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) yang dijangka siap sepenuhnya April 2025, diyakini memberi impak positif dalam memacu pembangunan daerah ini.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ketika ini, projek berkenaan sudah 92 peratus siap dan apabila siap kelak ia membolehkan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dihubungkan dari Padang Besar, Perlis ke Johor Bahru, Johor.
"Tampin akan terus membangun dengan baik apabila projek ini siap menjelang tahun hadapan sekali gus bakal memberi impak yang tinggi kepada kepentingan penduduk daerah ini.
"Sesuai dengan kedudukannya yang bersempadan antara Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, ia akan menjadi tumpuan masyarakat dari negeri jiran sekiranya mempunyai tarikan dan kemudahan yang terbaik dan menarik," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Jabatan Daerah Tampin di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim serta Pegawai Daerah Tampin, Mohd Fadhil Hassan.
Projek landasan berkembar sepanjang 192 kilometer itu, akan melalui 11 stesen dengan tren berkuasa 25,000 voltan bergerak selaju 140 kilometer sejam dengan anggaran masa perjalanan dari KL Sentral ke JB Sentral adalah 3 jam 30 minit.
Aminuddin berkata, Tampin juga pernah diiktiraf oleh PlanMalaysia sebagai daerah paling bahagia dalam Kajian Indeks Kebahagiaan 2021 dengan peratus paling tinggi iaitu 99.5 peratus.
Beliau berkata, pengiktirafan itu secara tidak langsung meletakkan satu jenama yang ada pada daerah ini dan perlu dipertahankan melalui pembangunan yang menjurus kepada usaha meningkatkan kemudahan serta perkhidmatan di setiap komuniti.
"Walaupun Tampin bukanlah bandar besar, tapi kerajaan negeri tidak mahu ia ketinggalan berbanding dengan bandar lain di negara ini," katanya.
Sumber: Harian Metro
Projek landasan berkembar elektrik Gemas-JB pacu kemajuan Tampin
Opmerkingen