top of page

Projek Kompleks Sukan Shah Alam lalui proses amalan terbaik, telus, rapi - MBI Selangor


Projek Kompleks Sukan Shah Alam lalui proses amalan terbaik, telus, rapi - MBI Selangor
Gambar fail reka bentuk konsep awal yang dibentangkan ketika Talimat Perkembangan Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) pada September 2022. - BERNAMA/ARKIB

Projek Kompleks Sukan Shah Alam lalui proses amalan terbaik, telus, rapi - MBI Selangor

KUALA LUMPUR: Cadangan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dipastikan melalui proses amalan terbaik yang telus dan rapi membabitkan pelbagai pihak sebelum ia dimuktamadkan.


Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Besar Incorporated (MBI) Selangor memaklumkan, cadangan pembangunan KSSA bermula sejak 2013 dengan 15 syarikat pemaju mengemukakan cadangan membangunkan semula kompleks sukan berkenaan.


"Cadangan yang dikemukakan semua syarikat telah diteliti pada peringkat MBI dan hasil proses tersebut, enam syarikat disenarai pendek dan dijemput menyertai proses Permintaan Untuk Cadangan.


"Selari dengan etika amalan tadbir urus telus yang dipraktikkan di MBI Selangor, projek berimpak tinggi seperti KSSA melalui prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.


"Pemilihan syarikat pemaju adalah yang berkelayakan dan berpengalaman membangunkan projek berskala besar," kata MBI Selangor.


MBI Selangor menjelaskan, cadangan yang dikemukakan calon pemaju dinilai oleh juru perunding profesional yang dilantik dan hasil penilaian dibentangkan kepada jawatankuasa penilaian di peringkat MBI sebelum diangkat kepada lembaga pengarah untuk kelulusan.


"Proses pemilihan syarikat pemaju kemudian dibentangkan kepada Jawatankuasa Pemandu terdiri daripada wakil-wakil kerajaan negeri dibantu beberapa jawatankuasa kerja yang melibatkan aspek teknikal, perundangan, kewangan dan sukan.


"Secara keseluruhan proses pemilihan ini mengambil masa lebih enam bulan membabitkan pelbagai tapisan untuk memastikan kepentingan rakyat negeri Selangor terpelihara," katanya.


Pada masa ini, projek pembangunan KSSA sedang dalam fasa penelitian reka bentuk dan komponen pembangunan sebelum dimuktamadkan pada Julai 2023.


Sumber: Berita Harian

bottom of page