Projek KLIP dijangka mula September



ALOR GAJAH: Projek pembinaan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) di Kuala Linggi, dekat sini, akan dimulakan selewat-lewatnya September depan bagi menjadikan perairan Melaka Barat sebagai hab perdagangan serantau.


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan, Industri Asas Tani dan Koperasi negeri, Norhizam Hassan Baktee, berkata syarikat pemaju projek berkenaan bercadang mengambil alih jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedia ada yang berfungsi sebagai pelabuhan perdagangan tukar barang atau ‘barter trade’ antara Malaysia dan Indonesia sejak beberapa tahun lalu.


Katanya, cadangan pelaksanaan projek itu diputuskan selepas Kerajaan Melaka dan Negeri Sembilan menyelesaikan pertikaian sempadan perairan kedua-dua negeri yang sudah tertangguh sejak sekian lama.

“Kerajaan Negeri Sembilan mahukan pulau kecil disebut sebagai Batu Berjambul di perairan berhampiran Kuala Linggi dan Melaka akhirnya setuju menyerahkannya kepada Negeri Sembilan kerana ia masalah utama mengapa perbincangan mengenai sempadan perairan negeri tidak selesai.


“Yang penting nasib nelayan tidak terjejas dengan pembinaan KLIP dan syarikat berjanji mengambil seberapa ramai anak nelayan untuk diserapkan sebagai tenaga kerja,” katanya selepas menyerahkan sagu hati antara RM300 hingga RM500 daripada Halal Hub Sdn Bhd kepada 106 nelayan yang terjejas dengan projek mengorek pasir Sungai Rembau di Pejabat Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Limau, di Lubok Cina, di sini.


Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan kos dan tempoh menyiapkan keseluruhan projek berkenaan.


Norhizam berkata, perdagangan tukar barang di jeti berkenaan mencatatkan nilai dagangan kira-kira RM30 juta setahun dan projek pembesaran pelabuhan serta mendalamkan muara Kuala Linggi jika siap sepenuhnya bakal meningkatkan jumlah dagangan itu.

Katanya, syarikat berkenaan bukan setakat menyediakan perkhidmatan pelabuhan untuk perdagangan barangan kargo, malah perdagangan petroleum dan air.


“Apabila pelabuhan itu beroperasi, ia akan menjana keuntungan untuk kerajaan negeri, selain memberi persaingan kepada pelabuhan negara jiran,” katanya.


Sumber: Berita Harian


#evolusibina #KLIP

16 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.