top of page

Projek Jana Wibawa: Wan Saiful akan didakwa di mahkamah pagi ini


Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan. - NSTP/DANIAL SAAD

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat dikenali sebagai Adam Radlan Adam Muhammad, dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pagi ini, untuk proses pendakwaan selepas ditahan berhubung kes projek Jana Wibawa.


Kedua-dua mereka ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, malam tadi.


Difahamkan sebelum itu, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, dipanggil untuk memberi keterangan di pejabat SPRM.


CEO yang juga bakal didakwa pula pernah ditahan reman bagi membantu siasatan projek Jana Wibawa.


Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata Kementerian Kewangan (MoF) mengarahkan pelaksanaan projek Jana Wibawa ditangguhkan untuk meneliti semula sama ada tatacara perolehannya mengikut peraturan ditetapkan perbendaharaan.


Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dipetik berkata, penangguhan projek bernilai RM5.7 bilion itu dibuat kerana terdapat unsur kaedah perolehan secara tender terpilih atau runding terus.


Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau sudah memberi keterangan kepada SPRM mengenai projek Jana Wibawa.


Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, mengesahkan sudah dihubungi SPRM untuk membantu siasatan yang dijalankan agensi itu.


Muhyiddin dilaporkan berkata, keterangan diberi adalah berkait penganugerahan kepada kontraktor dipilih bawah projek berkenaan, yang didakwa pihak tertentu bahawa berkemungkinan wujud tatacara perolehan tidak mengikut peraturan ditetapkan.


Untuk rekod, Jana Wibawa diperkenalkan kerajaan bawah pentadbiran Muhyiddin bagi mempercepat pelaksanaan projek bertujuan merancakkan ekonomi negara ketika serta pasca pandemik COVID-19, selain meningkatkan kapasiti kontraktor Bumiputera dalam industri pembinaan supaya lebih berdaya saing, berdaya tahan dan berpotensi.


Sebelum ini, kerajaan dilapor memudahkan kaedah pelaksanaan projek Jana Wibawa secara tender prakelayakan atau rundingan terus supaya impak pelaksanaan segera dapat dirasai oleh ekonomi dan rakyat.


Sumber: Berita Harian


Comments


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page