
KOTA BHARU: Pembangunan ekonomi Kelantan bakal mendapat lonjakan besar dengan kelulusan projek infrastruktur asas.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata melalui Rancangan Struktur Negeri Kelantan 2040, projek pembangunan berimpak tinggi yang sudah dan sedang dijalankan menjadi platform bagi melonjakkan pembangunan di negeri ini.
Katanya, projek baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan projek sambungan daripada RMK-11 menyumbang kepada pembangunan ekonomi Kelantan.
"Antara projek ini termasuk menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP); pembangunan Terminal Laut Bersepadu di Bandar Maritim Tok Bali; Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3); Lebuhraya Utama Tengah (Central Spine Road); Projek Hubungan Rel Pantai Timur (ECRL); Pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri dan Empangan Hidroelektrik Lebir; Projek Tebatan Banjir Sungai Golok Kompleks Sukan Bukit Merbau; Jambatan Palekbang-Kota Bharu dan Pembangunan Sektor Agromakanan Agensi Peneraju," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Apresiasi Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) & Pidato Ekonomi Sunnah 'Penggerak Pembangunan Ummah' di sini, hari ini.
Ahmad berkata, dalam mendepani pembangunan dan kemajuan, Kelantan di bawah pentadbiran Membangun Bersama Islam istiqamah menjadikan negeri ini sebagai sebuah negeri yang mempunyai daya saing tinggi dari aspek ekonomi dengan mengimbangi pembangunan fizikal dan pembangunan insan.
Sementara itu, Ahmad yang juga Pengerusi Kumpulan PKINK berbesar hati mengumumkan cuti tanpa rekod selama tiga hari kepada semua warga kerja Kumpulan PKINK dan cuti itu perlu dihabiskan pada 2022 berdasarkan peraturan sedia ada.
Beliau berkata, walaupun dihambat kesan wabak pandemik COVID-19, PKINK masih mampu bertahan malah mencatatkan keuntungan amat memberangsangkan dan faktornya disebabkan pelaburan PKINK dalam sektor berdaya saing iaitu sektor perkhidmatan dan perladangan.
"Sebagai contoh, Penubuhan Ar-Rahn pada 12 Mac 1992 adalah sebuah institusi gadaian terawal di Malaysia dan sehingga kini jumlah pinjaman islamik mikro kredit yang diberikan kepada masyarakat melalui skim Ar-Rahn ini berjumlah hampir RM350 juta.
"Ia akan terus diperkasakan dan kita akan memastikan kemampuan kewangan dan pengurusan profesional ditingkatkan supaya mampan dan berdaya saing, seterusnya menjadi yang terunggul di Malaysia," katanya.
Sehingga Disember 2021, PKINK mempunyai 17 anak syarikat terbabit dalam pelbagai sektor dan semua anak syarikat PKINK menyumbang kepada keuntungan sebelum cukai di peringkat kumpulan bagi tahun 2021 hampir RM75 juta.
Bagi memastikan keuntungan turut dirasai rakyat, PKINK khususnya akan menyalurkan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk program membaiki rumah penduduk miskin dan bantuan pendidikan.
Sumber: Berita Harian
Comments