top of page

Projek Forest City berjalan ikut pelan pembangunan


Projek Forest City berjalan ikut pelan pembangunan
FOREST City. FOTO Arkib NSTP

Projek Forest City berjalan ikut pelan pembangunan

Iskandar Puteri: Forest City, projek mega pembangunan bercampur di atas empat pulau buatan di perairan Johor berdekatan pelabuhan Tanjung Pelepas di sini dengan keluasan lebih 2832.79 hektar berjalan mengikut pelan pembangunan.


Timbalan Presiden Serantau Forest City Syarul Izam Sarifudin berkata meskipun pasaran hartanah global agak perlahan akibat pandemik Covid-19 namun rancangan jangka panjang bagi pembangunan mapan di kawasan itu tidak pernah berubah.


Beliau berkata syarikat itu masih optimis membangunkan pulau buatan dengan hartanah sebagai perniagaan teras dan tidak melihat sebarang keperluan bagi mengubah perancangan sedia ada, terutama untuk 10 tahun pertama iaitu 2015 hingga 2025.


"Fasa pertama (2015-2020) merupakan perancangan untuk menyiapkan kediaman serta beberapa infrastruktur dan ruang perniagaan bagi menampung penempatan sedia ada, fasa kedua (2020-2025) pula adalah dengan mencari lebih banyak peluang pelaburan terutama dalam hab perdagangan, kewangan dan industri berteknologi tinggi.


"Bagaimanapun, faktor luar jangka seperti pandemik Covid-19 dan ekonomi global yang perlahan sememangnya memberi kesan terhadap momentum pembangunan tersebut, namun ia tetap (berjalan) seperti mana perancangan pelan induk asal," katanya dalam satu kenyataan semalam.


Syarul Izam berkata Forest City kini giat mengadakan promosi di negara Asia antaranya Hong Kong, Korea Selatan, Taiwan, Vietnam, Filipina dan Indonesia termasuk melantik lebih 100 ejen hartanah antarabangsa bagi menarik lebih ramai pembeli dari negara tersebut.


"Selain itu, kita juga mengalu-alukan peniaga tempatan yang berminat untuk menyewa unit kedai di Forest City berikutan kawasan berkenaan dikelilingi pelbagai sektor industri seperti pelabuhan, kilang dan pentadbiran kerajaan, dengan pekerja berkenaan memerlukan pilihan makanan dan minuman tempatan," katanya.


Pada masa yang sama beliau berkata pihaknya sentiasa bersedia untuk menyemak serta menilai semula perancangan pembangunan Forest City selepas 2025, sekiranya ada keperluan semasa untuk berbuat demikian.


Projek Forest City bermula sejak 2015 dan sepanjang tempoh tujuh tahun, sebanyak 28,000 unit kediaman telah disiapkan dengan fokus utama pembangunan tertumpu pada pulau buatan pertama seluas 566.55 hektar.


Sehingga kini, Forest City memiliki dua hotel, dua padang golf bertaraf antarabangsa, kilang prefabrikasi Sistem Bangunan Berindustri (IBS) terbesar di Malaysia dan diiktiraf Malaysia Book of Records, sekolah antarabangsa Shattuck St Mary Forest City dengan kurikulum Amerika Syarikat serta taman air yang menjadi pilihan rakyat tempatan.


Sumber: Harian Metro


Projek Forest City berjalan ikut pelan pembangunan


Comments


bottom of page