top of page

Projek ECRL sensitif, babitkan hubungan dua hala - Daim


SHAH ALAM: Isu projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diterajui China Communications Construction Group Ltd (CCCC) perlu diurus secara berhati-hati kerana membabitkan hubungan antara dua negara.


Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Tun Daim Zainuddin, berkata projek ECRL itu adalah perkara sensitif dan ia sepatutnya dibincangkan secara senyap.


"Hubungan antara dua negara sangat rumit dan ia menjadi sangat sensitif. Sepatutnya kita duduk bersama berbincang serta buat kerja secara senyap-senyap.


"Kadang-kadang pihak media menekan menteri dengan bertanya soalan ini (ECRL). Menteri tak nak jawab (soalan) tapi kena jawab sebab kamu (media) dah tanya.


"Jangan beri tekanan kepada kerajaan. Kadang-kadang sedikit salah perkataan pun dah jadi lain maksud," katanya pada sidang media di sini, hari ini.


Terdahulu, beliau berucap pada program Luncheon Talk 'Atmosfera Ekonomi Bumiputera Masa Hadapan' bersama Tun Daim Zainuddin di Dewan Sri Budiman Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini.


Hadir sama, Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said; Ahli Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Mohd Zaini Hassan dan Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Hal Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima, Datuk Manja Ismail.


Mengulas lanjut, Daim berkata, kerajaan perlu mengurus semua perkara secara berhati-hati, termasuk dalam aspek perdagangan dan keselamatan.


"Bukan isu kontrak ini (ECRL) saja, banyak benda lain juga kena hati-hati. Saya ada pengalaman urus macam-macam, jangan...kena hati-hati," katanya.


Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata keputusan penamatan ECRL diterajui CCCC belum muktamad.


Perdana Menteri menjelaskan wujud beberapa perubahan terhadap perkembangan projek dengan jajaran sepanjang 688.3 kilometer (km) itu, sekali gus memerlukan rundingan lanjut membabitkan pihak berkaitan.


Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dilaporkan berkata, projek ECRL diterajui CCCC ditamatkan menerusi mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung pada 24 Januari lalu.


Percaturan itu terpaksa diambil kerajaan kerana tidak mampu menanggung kadar faedah menjangkau RM500 juta setahun jika ingin meneruskan projek dengan nilai RM81 bilion berkenaan.


Bagaimanapun, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, pada penganjuran majlis lain pula dilaporkan terkejut dengan kenyataan Mohamed Azmin serta menegaskan bahawa pendirian muktamad kerajaan berhubung status projek terbabit akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.


Sumber: Berita Harian


17 views
bottom of page