top of page

Projek ECRL bantu penduduk jana ekonomi


Projek ECRL bantu penduduk jana ekonomi
Projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)

Projek ECRL bantu penduduk jana ekonomi

PASIR PUTEH: Penduduk yang tinggal di sepanjang jajaran projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diharap memanfaatkan peluang bagi menjana ekonomi keluarga.


Adun Gaal Mohd Rodzi Ja’afar berkata, penduduk perlu merebut peluang dengan mencipta pendapatan baharu dengan kewujudan pembangunan berimpak tinggi tersebut.


Katanya, mereka boleh menjalankan perniagaan makanan, membina stor, penginapan dan pelbagai lagi yang boleh dimanfaatkan daripada projek ECRL.


“Banyak peluang yang boleh direbut kerana projek tersebut mampu menjana ekonomi keluarga, negeri dan negara,” katanya di sini.


Semalam beliau menghadiri taklimat Program M.E.S.R.A. East Cost Rail Link Pasir Puteh berkenaan projek ECRL yang diadakan di Institut Latihan Kenaf dan Tembakau Negara (INSKET) Padang Pak Amat.


Hadir sama Ketua Jajahan Pasir Puteh, Ahmad Adlee Yasin dan pengurusan kanan ECRL.


Di Pasir Puteh juga akan dibina stesen ECRL penumpang dan kargo sebagai stesen kedua di Kelantan selepas Kota Bharu.


Mohd Rodzi juga berkata, pada dialog tersebut pihak pengurusan projek ECRL bersetuju untuk mengatasi beberapa masalah yang dikemukakan penduduk termasuk jalan becah, berselut dan berdebu.


Menurutnya kehadiran kenderaan berat kontraktor projek ECRL menyebabkan jalan kampung rosak sehingga menyukarkan urusan harian penduduk.


“Saya berpuas hati terhadap jaminan pihak pengurusan projek ECRL berhubung aduan yang dikemukakan penduduk tempatan. Kita berharap situasi menang-menang,” ujarnya.



Projek ECRL bantu penduduk jana ekonomi

bottom of page