Projek benteng pemecah ombak di Kuala Dungun akan disegerakan



DUNGUN - Projek pembinaan benteng pemecah ombak bagi mengatasi masalah muara cetek di Kuala Dungun akan segera dilaksanakan sebaik sahaja kajian reka bentuk selesai.


Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, buat masa ini Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang dalam proses menyiapkan reka bentuk sebelum tender pembinaan projek dikeluarkan.


"Kita berterima kasih kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air yang telah meluluskan peruntukan sebanyak RM250 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK 11) bagi menyelesaikan masalah ini.



"Kita sedia maklum muara Kuala Dungun ini cetek dan bahaya buat nelayan, jadi kita harap projek ini dapat disegerakan. Apabila siap nanti, ia akan memberi kelegaan kepada hampir 600 nelayan di sini," katanya.


Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan Walkabout Bersama Nelayan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Dungun hari ini.


Turut hadir, Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim dan Ketua Pengarah LKIM, Othman Abdul Latiff.


Sementara itu, Dr Ronald berkata, kerja-kerja membaik pulih kemudahan di Kompleks LKIM Dungun diharap akan dapat dimanfaatkan hampir 1,000 nelayan dan pihak berkaitan di Dungun.


Katanya, antara kemudahan yang akan dibina ialah kilang air batu, dewan lelong dan jeti tambahan bot nelayan yang dianggarkan bernilai RM1.6 juta.


"Kita akan mendapatkan peruntukan untuk tujuan itu dengan segera dan pembinaannya akan dilaksanakan secara berperingkat," katanya.


Sumber: Sinar Harian


#evolusibina #Terengganu

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.