top of page

Program REP sasar bawa pulang 1,000 pekerja berkemahiran tinggi


PETALING JAYA: Kerajaan mensasarkan untuk membawa pulang seramai 1,000 pekerja berkemahiran tinggi tahun ini, yang kini bekerja di luar negara.


Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata Program Kepulangan Pakar (REP) di bawah kendalian Talent Corporation Malaysia (TalentCorp), menunjukkan peningkatan permohonan kembali bekerja di tanah air sebanyak 20 peratus.


Katanya kerajaan juga sedang mengkaji gaji bulanan minimum khas untuk golongan ini iaitu dalam lingkungan RM4,000 hingga RM5,000 dalam usaha menarik minat mereka bekerja di sini.


“Lebih sejuta pekerja di negara ini berhijrah ke luar negara untuk mendapatkan pekerjaan.


“Sehubungan itu, kementerian berusaha membawa pulang rakyat Malaysia menerusi pelbagai tawaran termasuk gaji minimum yang tinggi.


“Malah, satu jawatankuasa ditubuhkan bagi meneliti perkara ini,” katanya selepas membuat lawatan kerja di TalentCorp, di sini, hari ini. Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, N Sivakumeren.


Antara sektor utama yang menyumbang kepada peningkatan permohonan REP ialah perkhidmatan perniagaan, pembuatan dan pembinaan.


Sementara itu, Kulasegaran berkata pihaknya bersama barisan menteri Kabinet membuat inisiatif baru untuk meyakinkan rakyat Malaysia kembali ke tanah air menerusi lawatan kerja mereka ke luar negara.


“Menteri atau Timbalan Menteri yang membuat lawatan kerja ke luar negara disarankan bertemu dengan pekerja profesional dan pelajar di sana bagi meyakinkan mereka untuk pulang menyumbang khidmat kepada negara.


“Kami akan terus memudahkan mereka yang kembali ini dengan memadankan mereka kepada industri yang bersesuaian.


“Seterusnya, TalentCorp akan membantu proses ini selain menerangkan manfaat program REP,” katanya.



10 views
bottom of page