PPK Dengkil bangunkan tanah bina projek perumahan


Mohd Ansor (dua dari kiri) menandatangani perjanjian bersama wakil syarikat Primaa Rakan, Pushparajan (dua dari kanan).

PUTRAJAYA - Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Dengkil kini mengorak langkah membangunkan semula tanah miliknya seluas 1.2 hektar untuk melaksanakan projek perumahan di Bukit Changgang.


Pengerusinya, Mohd Ansor Sarmidi berkata, projek dibangunkan dengan usahasama syarikat Primaa Rakan Sdn Bhd berkenaan melibatkan kos RM10.2 juta dengan keuntungan bakal dicatatkan sebanyak RM2.27 juta.


Menurutnya, sebanyak 24 buah rumah terdiri daripada enam buah rumah teres dua tingkat dan 14 buah rumah teres berkembar akan dibangunkan.


"Ahli PPK Dengkil seramai 1,907 orang akan diberi keutamaan untuk membeli projek perumahan tersebut.


"Mereka boleh memilih rumah teres dua tingkat yang dijual pada harga anggaran RM340,000 atau rumah berkembar setingkat berharga RM400,000," katanya semasa berucap pada majlis menandatangani perjanjian usahasama perumahan antara PPK Dengkil dengan Primaa Rakan.


Terdahulu, Mohd Ansor menandatangani perjanjian berkenaan bersama Pengarah Urusan Primaa Rakan, S Pushparajan.


Pada majlis itu juga, syarikat berkenaan menyerahkan RM200,000 kepada PPK Dengkil sebagai jaminan.


Mohd Ansor berkata, projek berkenaan sangat istimewa kerana Mukim Dengkil mempunyai nilai komersial tersendiri dan berhampiran dengan pusat pentadbiran kerajaan di Putrajaya.


Sementara itu, Mohd Ansor ketika ditemui berkata, pihaknya akan mula mengedarkan borang permohonan pada 19 September ini.


"Ahli-ahli berminat boleh mengambil borang tersebut.


"Kami juga akan membuka peluang kepada orang awam untuk memiliki unit rumah dalam projek tersebut," katanya.


Projek tersebut akan dimulakan pada September ini dan dijangka siap pada tahun 2022.


Sebelum ini, PPK Dengkil pernah menyiapkan projek perumahan dan bangunan kedai di Desa Vista pada tahun 2010.


Sumber: Sinar Harian


#evolusibina #Dengkil

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.