KUALA LUMPUR: Powerwell Holdings Bhd akan memanfaatkan langkah kerajaan meneruskan semula beberapa projek mega seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Bandar Malaysia.
Powerwell dan anak syarikatnya secara prinsipal terbabit dengan rekaan, pengeluaran dan dagangan dalam produk pengedaran elektrik yang merangkumi ‘switchboards’ bervoltan rendah, ‘switchgears’ bervoltan sederhana dan produk lain yang berkaitan.
Pengarah Eksekutif Powerwell, Ricky Lee, berkata pelaksanaan projek mega akan memberikan kesan positif kepada syarikat itu yang bergantung kepada rangsangan sedemikian.
“Dengan projek ECRL, Bandar Malaysia dan kemungkinan MRT3 diteruskan, ia akan memberi peluang kepada syarikat untuk membekalkan produk dan menyertai proses tender yang akan dibuka nanti.
“Selain pasaran Malaysia, kami turut mengeksport produk ke Indonesia, Filipina, Vietnam dan Bangladesh, yang menyumbang 20 hingga 30 peratus pendapatan syarikat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyenaraian saham Powerwell Holdings di Pasaran ACE Bursa Malaysia, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Urusan Powerwell, Jason Tham; Pengarah Eksekutif, Catherine Wong serta Pengarah Ketua Kewangan Korporat Mercury Securities Sdn Bhd, Denis Lim.
Powerwell Holdings, yang menjadi syarikat pertama disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia tahun ini meraih premium 0.005 sen pada kemunculan sulungnya.
Pada jam 9 pagi, saham syarikat berkenaan dibuka pada 25.5 sen sesaham dengan 20,000 unit saham diniagakan.
Menerusi penyenaraian itu, Powerwell dijangka meraih dana berjumlah RM21.85 juta dengan RM10.27 juta digunakan bagi tujuan perbelanjaan modal.
Ia termasuk pembelian peralatan dan jentera mesin bagi menambah baik sistem ‘Enterprise Resourse Planning’ (ERP) dan juga perkakasan berkaitan.
Selain itu, RM3.87 juta juga diperuntukkan bagi tujuan perbelanjaan pensijilan dan RM3.62 juta bagi modal kerja.
Baki RM4.10 juta juga diperuntukkan bagi anggaran perbelanjaan penyenaraian.
Sumber: Berita Harian
Comentários