top of page

PNB, KWSP muktamad pengambilalihan aset komersial Battersea


KUALA LUMPUR 14 Mac - Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memuktamadkan pengambilalihan aset komersial stesen janakuasa Battersea daripada penjual SP Setia Bhd. (SP Setia) dan Sime Darby Property Bhd. selepas selesai penyusunan semula pemilikannya.


SP Setia dalam kenyataannya berkata, PNB dan KWSP mengambil alih aset komersial tersebut dengan nilai 1.58 bilion pound (RM8.51 bilion) dengan masing-masing memiliki kepentingan sebanyak 65 dan 35 peratus.


Katanya, bangunan stesen janakuasa di kawasan seluas kira-kira 2.43 hektar daripada keseluruhan 16.99 hektar kawasan penjanaan dianggap sebagai teras projek berkenaan.


“Ketika ini ia sedang dibaik pulih dan sebaik sahaja siap seperti yang dijadualkan pada akhir 2020 akan menempatkan ratusan kedai, restoran, kafe, ruang acara dan panggung wayang serta kawasan kediaman baharu, kampus Apple, London dan kelab ahli perniagaan No18,” katanya di sini hari ini.


PNB dan KWSP sudah memiliki 70 peratus daripada keseluruhan pembangunan stesen janakuasa Battersea menerusi pegangan dalam syarikat pemaju asal dan bagi KWSP menerusi pegangan langsung sebanyak 20 peratus.


Transaksi berkenaan tidak menjejaskan pegangan saham dalam Battersea Project Holding Company Ltd. yang kekal tidak berubah antara SP Setia (40 peratus), Sime Darby Property (40 peratus) dan KWSP (20 peratus).


Sementara itu, Battersea Development Company yang berpangkalan di United Kingdom dan anak syarikatnya akan meneruskan peranan sebagai pengurus pembangunan, estet dan aset bagi semua fasa keseluruhan pembangunan itu. - BERNAMA



54 views
bottom of page