top of page

PM lawat pembinaan Terminal Feri Desaru Coast


Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendengar taklimat projek Terminal Feri Desaru Coast yang dalam pembinaan ketika meninjau pembinaan projek terminal feri bersama Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad di Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor - Foto NSTP/Zain Ahmed

KOTA TINGGI: Johor akan mempunyai pintu masuk antarabangsa baharu dengan pembinaan Terminal Feri Desaru Coast yang dijangka siap pada Jun tahun hadapan.


Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dalam rangka lawatan dua hari ke negeri ini sempat meninjau pembinaan projek terminal feri berkenaan yang sedang giat dijalankan.


Muhyiddin yang diiringi Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, meluangkan masa kira-kira setengah jam meninjau tapak pembinaan terminal feri berkenaan yang terletak kira-kira enam kilometer dari Bandar Penawar itu.



Terminal feri berkenaan akan dilengkapi Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) akan menjadi pintu masuk antarabangsa ke-16 di negara ini.


Ia sebahagian projek pembangunan bersepadu, Desaru Coast Destination Resort (Desaru Coast) yang dibangunkan dengan kos RM4.5 bilion.


Terdahulu, Muhyiddin yang tiba kira-kira jam 3.15 petang di Hard Rock Hotel Desaru, diberi taklimat oleh Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, mengenai pembangunan bersepadu sektor pelancongan Desaru.


Muhyiddin menamatkan lawatan rasmi dua hari ke Johor yang bermula semalam dengan berakhirnya lawatan di Desaru.


Semalam, beliau memulakan lawatan dengan mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Bukit Serene.


Selepas menghadap Sultan Ibrahim, Muhyiddin menghadiri majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Johor di Hotel Thistle Johor Bahru pada sebelum merasmikan Sambutan Hari Belia Negara 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor dan kemudian menyertai tinjauan di B5 Street Market, Tampoi.


Malam tadi, beliau mengadakan pertemuan tertutup bersama kira-kira 300 pemimpin dan anggota politik Johor membabitkan UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PAS, MCA dan MIC, yang dikatakan membincangkan kerjasama politik antara parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional (MN).



7 views
bottom of page