top of page

PLUS raih anugerah keselamatan jalan raya antarabangsa Prince Michael


(Dari kiri) Pengurus Perniagaan Wilayah Utara PLUS, Wan Ahmad; Ketua HSSE PLUS, Leong Kah Fye; Prince Michael of Kent; Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail dan Pengurus Perniagaan Wilayah Tengah PLUS, Husni Md Yusuf pada majlis penerimaan Anugerah Keselamatan Jalan Raya Antarabangsa Prince Michael di London.

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) merangkul Anugerah Keselamatan Jalan Raya Antarabangsa Prince Michael (Prince Michael International Road Safety Award) di The Savoy, London, Selasa lalu.


Ini sekali gus menjadi syarikat lebuh raya Asia pertama menerima anugerah antarabangsa membabitkan keselamatan jalan raya.


Anugerah berkenaan disampaikan oleh Putera Michael daripada keluarga diraja Britain kepada Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail sebagai mengiktiraf kejayaan PLUS melaksanakan pelbagai inisiatif keselamatan di sepanjang 1,134.1 kilometer lebuh rayanya di Semenanjung Malaysia.


Azman berkata, anugerah itu membuktikan bahawa PLUS diiktiraf sebagai lebuh raya bertaraf dunia yang mematuhi ciri-ciri keselamatan yang tinggi di peringkat antarabangsa.

“Ini mengesahkan bahawa PLUS ialah sebuah organisasi yang mengutamakan dan memberi penekanan terhadap aspek keselamatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


PLUS adalah antara 23 penerima anugerah daripada 70 pencalonan yang bermutu tinggi dari seluruh dunia yang diraikan dalam majlis yang dihadiri lebih daripada 350 pakar keselamatan jalan raya antarabangsa dan ahli profesional.


Sebagai syarikat pengendali lebuh raya terbesar di Malaysia yang memberi perkhidmatan kepada lebih 1.7 juta pelanggan setiap hari, termasuk 3,000 pekerja lebuh raya, PLUS mengambil pendekatan 3E yang merangkumi aspek Kejuruteraan, Penguatkuasaan dan Pendidikan dalam menguruskan keselamatan jalan raya sejak 2017.


Dari segi pendidikan, PLUS bekerjasama bersama Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan memperkenalkan Pasport Keselamatan Operasi Lebuhraya (EOSP).


“Sejurus pelaksanaannya, EOSP menyumbang kepada penurunan kadar kematian dalam kalangan petugas dan kontraktor yang menjalankan kerja mereka di lebuh raya sebanyak 75 peratus,” menurut kenyataan itu.


Putera Michael, dengan gelaran Prince Michael of Kent, iaitu pendukung utama keselamatan jalan raya yang menyokong Misi Sedekad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu )PBB), sebuah program antarabangsa yang berwawasan tinggi dan menyelamatkan berjuta nyawa dan menggalakkan amalan keselamatan yang baik.


Sejak 1987, anugerah itu memberi pengiktirafan kepada mereka yang telah meningkatkan keselamatan jalan raya di seluruh Britain. Kini Prince Michael International Road Safety Awards mengiktiraf pencapaian dan inovasi luar biasa di seluruh dunia setiap tahun yang inisiatif keselamatan jalan raya paling cemerlang diberikan pengiktirafan. – BERNAMA



16 views
bottom of page