top of page

PLUS perlu kekal dipacu syarikat swasta



KUALA LUMPUR: Langkah terbaik untuk PLUS Malaysia Bhd adalah diuruskan syarikat swasta, kata peneraju korporat yang membida untuk mengambil alih pengendali lebih raya terbesar di negara ini.


Ahli perniagaan, Tan Sri Halim Saad, yang menyertai senarai pembida berminat untuk mengambil alih PLUS dengan nilai tertinggi RM5.2 bilion tunai, berkata ia adalah masa tepat kepada kerajaan untuk menyerahkan operasi perkhidmatan awam kepada syarikat swasta.


Halim, yang terbabit dalam operasi lebuh raya selama beberapa tahun berkata, sejak pengambilalihan ‘mengejut’ PLUS dari Renong Bhd pada 2001, tiada sebarang penurunan dalam kadar tol, sebaliknya hanya jumlah hutang melonjak kepada RM30.2 bilion setakat 2019.


“Sejak pengambilalihan itu, hutang meningkat hampir 10 kali ganda harga tender iaitu RM3.4 bilion yang ditetapkan pada 1988. Hanya RM700 juta (hutang) dibayar. Jadi di manakah tunai daripada pendapatan tahunan dibelanjakan?,” katanya dalam satu temubual.


Harga tender RM3.4 bilion bagi konsesi tol selama 30 tahun dianugerahkan kerajaan kepada UEM Group Bhd dan PLUS pada 1988.


Halim mendakwa ketika beliau meninggalkan operasi PLUS sembilan tahun lalu, jumlah pinjaman hanya berada pada RM6 bilion, lima kali ganda lebih rendah berbanding hutang semasa pengendali lebih raya itu.


Bersama dengan rakan niaga, Datuk Wong Gian Kui, Halim merancang untuk mengambilalih keseluruhan kepentingan dalam PLUS dengan nilai RM5.2 bilion.


Selain menawarkan penurunan kadar tol lebih 25 peratus, beliau menegaskan, di bawah cadangannya, jangkaan pulangan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak akan dicairkan jika pengendali dana pencen itu mahu mengekalkan pegangan 49 peratus dalam PLUS.


Awal bulan ini, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata penjualan PLUS kepada entiti swasta boleh menjadi ‘ancaman moral besar’.


Ia menjadi sesuatu yang sukar dibayangkan apabila PLUS berada di bawah syarikat swasta terutama jika tawaran pengambilalihan aset pada harga rendah dan kerajaan perlu memberi jaminan, katanya.



94 views
bottom of page