top of page

Plaza Rakyat, Hotel Hyatt di ibu negara dibangun semula



PUTRAJAYA: Projek pembinaan Plaza Rakyat dan Hotel Hyatt yang terbengkalai sejak sekian lama di tengah-tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur, akan dibangunkan semula tidak lama lagi.


Projek Plaza Rakyat di Jalan Pudu dan Hotel Hyatt di Jalan Sultan Ismail itu, masing-masing terbengkalai selama 27 dan 26 tahun, walaupun beberapa kali cuba dibangunkan semula.


Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata perintah pembangunan (DO) projek Plaza Rakyat akan dikeluarkan sebelum hujung bulan ini selepas pemaju membayar caj yang ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


“Pemaju baharu sudah diminta melakukan rundingan dan menyelesaikan isu berbangkit dengan 211 pembeli asal lot di plaza itu apabila kerja tanah dimulakan. Kita akan membuat majlis pelancaran semula secara besar-besaran,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Bagi projek Hotel Hyatt, beliau menjangkakan pembangunan semula dimulakan sebelum hujung tahun ini membabitkan pemaju asal dan mengambil masa antara 36 hingga 50 bulan untuk disiapkan.


Projek Hotel Hyatt yang mula dilaksanakan pada 1993, terbengkalai sebelum diadakan beberapa siri pindaan pada 1998, 2003, 2013 tetapi terus terbengkalai.


“Dengan pelaksanaan kedua-dua projek terbengkalai ini, ia kejayaan besar sekali gus menafikan bahawa projek dan kerja pembangunan di Kuala Lumpur ketika ini sudah perlahan,” katanya.


Bagi memastikan projek itu tidak menerima nasib sama seperti sebelum ini, beliau berkata, beberapa syarat ditetapkan, selain kerajaan memberi insentif tertentu.


“Kita sudah periksa latar belakang serta kemampuan kontraktor termasuk dari segi kewangan, serta tetapkan syarat termasuk membuat bayaran awal kepada DBKL.


“Jadi, tiada sebab kita curiga terhadap kemampuan mereka, kalau gagal juga maknanya pemaju terbabit akan kehilangan beratus juta ringgit. Kita bantu dengan memberi beberapa kelonggaran dan insentif, antaranya diskaun 50 peratus untuk caj pembangunan,” katanya.



482 views
bottom of page