PKBM belum dapat 
jumpa Tun Daim



KUALA LUMPUR 22 Julai - Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) masih menunggu pertemuan dengan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin berhubung kuota khas dalam kerja-kerja sivil projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).


Presiden PKBM, Datuk Azman Yusoff berkata, pihak persatuan tidak henti berusaha mencari jalan bagi merea­lisasikan perjumpaan dengan Wakil Khas Perdana Menteri untuk run­dingan semula projek mega ECRL bersama kerajaan China itu.


Katanya, beliau sebelum ini berjumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak dan juga Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof bagi membincangkan betapa pentingnya penglibatan kontraktor bumiputera di dalam projek mega berkenaan.

Jelas beliau, sekumpulan ahli PKBM berdaftar yang berkelayakan telah menghantar penyertaan program pendaftaran Pra-Kelayakan (Pra-Q) bagi kerja-kerja sivil projek ECRL itu.


“Kami tidak minta banyak, kalau satu kontrak bernilai RM2 bilion misalnya diberikan kepada kontraktor bumiputera, ia akan dapat memberikan manfaat kepada banyak lagi kontraktor lain menerusi subkontrak.


“Kami faham masing-ma­sing sibuk dan mempunyai banyak lagi urusan lain yang perlu diutamakan. PKBM akan terus menunggu untuk mengadakan perbincangan dengan Daim,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Utusan Malaysia pada 12 Jun lalu melaporkan peluang buat kontraktor bumiputera akan lebih cerah jika kerajaan memberikan sekurang-kurangnya 20 peratus kuota khas untuk terlibat dalam kerja-kerja sivil projek ECRL.


Pengerusi Kehormat PKBM, Datuk Mokhtar Samad gusar kontraktor bumiputera sukar bersaing dengan syarikat besar jika tiada kuota khas yang telah dimohonnya sejak 26 Mei lalu.

Pada 15 April lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pemba­bitan Malaysia dalam kerja-kerja awam projek ECRL di­tingkatkan kepada 40 peratus berbanding 30 peratus susulan pemeteraian Perjanjian Tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) pada 12 April.


Dalam satu temu ramah de­ngan Bernama, Wakil Khas Perdana Menteri untuk run­dingan semula projek mega ECRL bersama kerajaan China, Tun Daim Zainuddin berkata, sektor pembekalan dan aspek teknikal antara yang perlu direbut kontraktor bumiputera dan tempatan dalam projek mega tersebut.


“Datang jumpa saya jika malu, saya akan bantu jika mereka betul-betul layak. Ja­ngan mengharapkan kerajaan untuk datang kepada anda. Anda sendiri yang perlu bersedia dan berjumpa dengan pemain industri,” kata­nya dalam laporan media pada 19 April lalu.


Sumber: Utusan Malaysia


#evolusibina #ECRL

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.