top of page

PJD Link dapat RM922 juta biaya projek lebuh raya


PJD Link dapat RM922 juta biaya projek lebuh raya.
Gambar hiasan: PJD Link bertujuan untuk menambah baik kesesakan lalu lintas dan memenuhi pertumbuhan kenderaan masa hadapan. (Sumber gambar: FMT)

PJD Link dapat RM922 juta biaya projek lebuh raya.

KUALA LUMPUR: PJD Link (M) Sdn Bhd (PJD Link), pemegang konsesi bagi cadangan Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link Expressway) memperoleh pembiayaan berjumlah RM922 juta, sebahagian daripada keperluan membiayai projek lebuh raya berkenaan.


Ketua Pegawai Eksekutif PJD Link, Amrish Hari Narayanan, berkata berikutan pemerolehan pembiayaan itu, pemegang konsesi terbabit boleh bergerak ke hadapan dengan baki fasa kewangan projek itu termasuk meningkatkan bahagian baki kos projek menerusi pasaran sukuk.


"Keupayaan untuk membiayai projek berkenaan adalah antara Syarat Terdahulu di bawah Perjanjian Konsesi, selain mendapatkan kelulusan untuk laporan Kesan Sosial, Alam Sekitar dan Trafik," katanya dalam satu kenyataan.


PJD Link memeterai Perjanjian Induk (HoA) dengan MCC Overseas (M) Sdn Bhd (MCC Malaysia), anak syarikat China Metallurgical Group Corporation (MCC Group) ketika Forum Pelaburan dan Pembinaan Infrastruktur Antarabangsa (IIICF) ke-14 yang dihoskan bersama oleh Persatuan Kontraktor Antarabangsa China dan Institut Penggalakan Perdagangan dan Pelaburan Macau, di Macau pada 1 Jun 2023.


IIICF ialah acara utama yang menghimpunkan pegawai kerajaan, pemimpin industri dan pelabur dari seluruh dunia untuk membincangkan arah aliran dan perkembangan terkini dalam sektor infrastruktur.


Forum terbabit menjadi platform penting untuk mempromosikan pelaburan dalam projek infrastruktur dan untuk memudahkan pertukaran idea dan amalan terbaik.


Sebagai antara acara tahunan yang paling berpengaruh dalam sektor infrastruktur global, forum tahun ini dengan tema 'Going Green, Digital and Smart, Financing Win-Win Cooperation', menghimpunkan lebih 3,000 pakar industri dari lebih 700 institusi di lebih 60 negara dan wilayah, termasuk 40 tetamu peringkat kementerian.


MCC Group adalah konglomerat kejuruteraan pembinaan besar yang tersenarai di bursa saham Shanghai dan Hong Kong.


Pemeteraian HoA itu disaksikan oleh Presiden MCC International Incorporation Ltd, Yang Roubing, Kerajaan SAR Macau, ahli utama Persatuan Kontraktor Antarabangsa China dan Ketua Pegawai Eksekutif Scomi Energy Services Bhd, Amirul Baharom.


Di bawah HoA, MCC Malaysia akan dilantik sebagai kontraktor Kejuruteraan, Perolehan dan Pembinaan (EPC) Lebuhraya PJD Link.


PJD Link ialah lebuh raya berkembar (empat lorong) sepanjang 25.4 kilometer (km), yang akan bermula selepas Plaza Tol Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di Lebuhraya SPRINT, Damansara dan berakhir di Persimpangan Lebuhraya Bukit Jalil.


Projek infrastruktur utama ini bertujuan untuk menambah baik kesesakan lalu lintas dan memenuhi pertumbuhan kenderaan masa hadapan di kawasan Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang.


Apabila siap kelak, PJD Link Expressway dijangka memainkan peranan penting dalam menyuraikan kesesakan lalu lintas kerana ia menyediakan sambungan utama dengan enam lebuh raya utama termasuk NKVE, Lebuhraya SPRINT, Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Pantai Baru (NPE), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Lebuhraya Bukit Jalil.


PJD Link menandatangani perjanjian konsesi dengan kerajaan pada 5 April tahun lalu.


Sumber: Berita Harian


PJD Link dapat RM922 juta biaya projek lebuh raya.

bottom of page