top of page

Petugas PBT, agensi kerajaan perlu ke lapangan


Petugas PBT dan agensi kerajaan perlu turun padang bertemu peniaga bagi mengambil tahu masalah mereka. - Foto hiasan NSTP/AIZUDDIN SAAD

MUAR: Penjawat awam di pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan perlu turun padang bertemu peniaga bagi mengambil tahu masalah mereka.


Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata petugas PBT dan jabatan kerajaan mesti bersikap lebih proaktif bagi membantu peniaga memula dan membangunkan semula perniagaan.


Katanya, beliau sedar sektor ekonomi di kebanyakan negara terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19 dan Malaysia juga tidak terkecuali menerima kesannya.


"Betul Malaysia adalah antara negara yang diiktiraf terbaik dalam mengawal penularan wabak COVID-19. Tetapi, jangan pula kita terkebelakang berbanding negara-negara lain dalam fasa pemulihan ekonomi.

"Saya memperingatkan jangan ada apa pun sekatan atau halangan tidak perlu bagi perniagaan-perniagaan yang dibenarkan beroperasi semula daripada menjalankan urusan perniagaan mereka.


"Kita mesti permudahkan urusan mereka. Sekiranya mereka tidak punyai lesen, permudahkan urusan permohonan dan percepatkan proses memberi kelulusan kepada mereka.


"Dalam hal ini, pendekatan yang berbeza perlu dilakukan agar usaha kerajaan bagi menjana semula ekonomi negara berjaya dilaksanakan.


"Jika sebelum ini, peniaga dan pengusaha yang perlu merujuk kepada majlis daerah, PBT atau dewan-dewan perniagaan, kini PBT dan agensi kerajaan pula perlu ke lapangan bertemu dengan peniaga untuk mengambil tahu masalah mereka," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.


Terdahulu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir mempengerusikan Mesyuarat Bersama Wakil Peniaga dan Industri Daerah Muar.


Seramai 37 wakil peniaga dan industri termasuk industri kecil dan sederhana (IKS), penternak, perusahaan perabot, pengusaha bas, peniaga pasar malam dan pasar awam, pusat jagaan orang tua, di samping persatuan kontraktor dan wakil Dewan Perniagaan India Muar menyertai mesyuarat berkenaan.


Semalam Muhyiddin meminta kerajaan negeri dan PBT diminta mengambil langkah lebih proaktif bagi mempermudah urusan perniagaan di kawasan masing-masing.


Beliau dilaporkan berkata, ia termasuk mempercepat pengeluaran lesen perniagaan oleh PBT serta memudahkan rakyat untuk berniaga.


Ini disebabkan katanya, kerajaan bimbang apabila kira-kira sejuta pekerja di negara ini termasuk golongan belia akan hilang pekerjaan kesan daripada pandemik COVID-19.


Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, tindakan proaktif PBT dan agensi kerajaan penting bagi memastikan semua perniagaan atau industri boleh memulakan semula aktiviti sekali gus memulihkan perniagaan mereka serta ekonomi negara.


"Dalam hal ini, pendekatan yang berbeza perlu dilakukan supaya usaha kerajaan bagi menjana semula ekonomi negara berjaya dilaksanakan.


"Ini juga adalah sebahagian daripada normal baharu yang mesti dibiasakan dalam cara kita bekerja.


"Sekali lagi, saya meminta kerjasama agensi di peringkat negeri dan Persekutuan yang terbabit di dalam penyediaan perkhidmatan kepada industri perniagaan supaya menjadi lebih proaktif bagi memastikan segala kerja berjalan lancar," katanya.



19 views
bottom of page