top of page

PETRONAS jamin bayar RM1.3 bilion kepada Sarawak



PETROLIAM Nasional Berhad (PETRONAS) memberi jaminan bertulis bahawa Cukai Jualan Negeri (SST) akan dibayar oleh tujuh anak syarikatnya termasuk Petronas Carigali Sdn Bhd yang terbabit secara langsung dalam penjualan produk petroleum di Sarawak.


Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, SST Sarawak bagi tempoh Januari hingga Jun 2019 termasuk denda pembayaran lewat dan faedah itu berjumlah hampir RM1.3 bilion.


Beliau berkata, tujuh anak syarikat PETRONAS itu kini dalam proses pendaftaran dengan Comptroller (pengawal selia) sebagai pihak yang kena cukai yang akan bertanggungjawab membayar SST kepada kerajaan Sarawak.



"Proses pendaftaran itu harus selesai pada 15 Ogos 2020 dan PETRONAS sudah memberi jaminan bertulis, bahawa anak-anak syarikatnya akan membayar SST seperti yang dinilai," katanya dalam kenyataan akhbar, hari ini.


Sharifah Hasidah berkata, Comptroller kini sedang membuat penilaian jumlah SST yang perlu dibayar oleh setiap anak syarikat PETRONAS itu bagi tahun 2019.


"Ia berdasarkan rekod jumlah sebenar produk petroleum yang mereka jual dan pengisytiharan nilai penjualannya disediakan oleh tujuh anak syarikat terbabit," katanya.


Beliau berkata, penilaian itu akan dibuat oleh Comptroller dengan ketat dan tiada potongan atau pengecualian akan diberikan sesuai dengan peruntukan Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998 dan Peraturan Cukai Jualan Negeri 1998.


Sebelum ini, kerajaan Sarawak dan Comptroller SST menarik balik saman yang difailkan terhadap PETRONAS untuk mendapatkan kembali SST bagi tempoh Januari hingga Jun 2019 berjumlah hampir RM1.3 bilion termasuk denda lewat pembayaran dan faedah.


Pada masa yang sama, PETRONAS juga menarik tuntutan balasnya terhadap kerajaan Sarawak dan Comptroller kerana mengenakan SST yang tepat ke atas PETRONAS bagi jualan produk petroleum bagi tempoh berkenaan.


Sumber: Harian Metro


48 views
bottom of page