Perubahan dasar kerajaan punca lewat (LRA)



Alor Setar: Kelewatan pelaksanaan projek naik taraf lima Loji Rawatan Air (LRA) di Kedah yang diluluskan sejak 2017 berlaku disebabkan faktor perubahan dasar kerajaan terdahulu.


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Tenaga negeri, Datuk Suraya Yaakob berkata, perubahan dasar itu dibuat kerajaan sebelum ini selepas berlakunya peralihan kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).


Berikutan itu, katanya, berlaku kelewatan pelaksanaan bagi lima projek iaitu LRA Pelubang, LRA Bukit Selambau, LRA Sungai Limau, LRA Jenun Baru dan LRA Lubuk Buntar Lama.


"Pada masa ini, pelaksanaan projek terbabit sudah melalui proses penilaian tender, dua daripadanya iaitu LRA Lubuk Buntar Lama dan Jenun Baru sudah pun ditender.


"Dijangka projek kelima-lima LRA ini akan dimulakan dilaksanakan pada tahun depan," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.


Beliau menjawab soalan Mohd Azam Abd Samat (Pas-Sungai Limau) yang bertanya mengenai halangan pelaksanaan projek menaik taraf lima LRA terbabit.


Mengulas lanjut, Suraya berkata, berdasarkan unjuran permintaan air di negeri ini, projek naik taraf kesemua LRA terbabit dijangka dapat meningkatkan rizab margin bekalan air di Kedah kepada 10 peratus.


Selain itu, katanya kerajaan negeri membuat perancangan teliti untuk memenuhi keperluan industri bagi projek berimpak tinggi seperti Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) di Bukit Kayu Hitam dan Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap.


"Ini terbukti hasil daripada permohonan kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan sudah meluluskan peruntukan bagi membina satu lagi LRA di Kubang Pasu bagi menampung keperluan domestik dan industri di kawasan SBEZ dianggarkan berjumlah RM350 juta.


"Bagi pembangunan projek KRC, dengan pelaksanaan menaik taraf LRA Pelubang akan mengurangkan sokongan bekalan air dari LRA Padang Sanai di daerah Kubang Pasu sekali gus meningkatkan keberkesanan sistem pengagihan air terawat di daerah Padang Terap termasuk untuk projek KRC," katanya.


Sumber: Harian Metro


#evolusibina #LRA

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.