top of page

Pertingkat aspek OSH selaras tuntutan IR4.0


INSIDEN runtuhan membabitkan struktur sebuah kondominium dalam pembinaan di Taman Desa. - Foto Aswadi Alias

Insiden runtuhan membabitkan struktur sebuah kondominium dalam pembinaan di Taman Desa, perlu dipandang serius bukan sahaja oleh penggiat industri pembinaan, tetapi juga orang awam.


Kes yang sering dilaporkan berlaku juga menuntut perhatian khusus diberikan kepada isu keselamatan dalam sektor pembinaan, selain memerlukan tindakan segera diambil pihak berkuasa dan pihak berkepentingan lain, supaya ia dapat ditangani lebih berkesan.


Sering kita dengar penyiasatan dijalankan pihak berkuasa berkaitan selepas terjadi kemalangan di tapak pembinaan. Namun, malangnya hasil penyiasatan tidak diketahui.


Lebih penting, cadangan dan tindakan pencegahan yang perlu diambil tidak dikongsi.


Akhirnya, kita gagal mempelajari apa-apa daripada insiden berkenaan.



Kita akui selain meningkatkan kualiti hidup, industri pembinaan mewujudkan peluang pekerjaan besar dan menyumbang kepada pembangunan industri lain.


Namun, di sebalik pencapaian itu, ia membawa kesan kepada isu berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) apabila bilangan kematian dan kecederaan melalui aktiviti pembinaan seluruh negara berada pada tahap membimbangkan.


Statistik Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) melaporkan 169 kematian dan 3,911 kemalangan direkodkan dalam sektor pembinaan pada 2018. Kadar kematian bagi 100,000 pekerja dalam pembinaan ialah 13.44 pada 2018 berbanding 14.57 pada 2017.


Jumlah kematian dicatatkan dalam industri pembinaan pada 2018 pula tertinggi berbanding sektor lain. Justeru, tahap prestasi kesihatan dan keselamatan industri pembinaan Malaysia setakat ini menunjukkan kedua-duanya berada pada tahap lemah dan perlu ditambah baik.


Kadar Kemalangan Fatal (FAR) tidak hanya 10 kali lebih buruk daripada United Kingdom (UK), tetapi sebenarnya merosot sebanyak 20 peratus pada abad ini seperti dilaporkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB). Oleh itu, kita mesti menggiatkan usaha memastikan kejadian tragik tidak terus berlaku.


Semua yang terbabit dalam industri pembinaan harus mengambil langkah menangani dan menyelesaikan isu kemalangan yang kerap berulang, selain memperbaiki tahap keselamatan dan kesihatan semua pekerja tapak pembinaan.


Kemalangan yang kerap berlaku di tapak pembinaan memberi indikasi negatif terhadap prestasi keselamatan, selain menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap industri pembinaan.


Pengawasan keselamatan tapak juga harus ditingkatkan. Penggiat industri mesti bersedia menggunakan teknologi untuk meningkatkan pematuhan OSH.


Pemaju dan kontraktor perlu menggunakan teknologi terkini untuk membantu mereka memantau dan melindungi pekerja, mesin dan aktiviti di lapangan dengan lebih berkesan.


Teknologi tanpa wayar yang digabungkan dengan perisian dan alat terkini seperti dron dan alat pengesan jarak jauh membolehkan pengurus keselamatan memantau pekerja dan mesin, serta menilai keadaan semasa melalui komputer riba atau telefon pintar mereka.


Seiring kemajuan teknologi, kita perlu memahami Revolusi Industri 4.0 yang kini memasuki peringkat keempat atau lebih dikenali IR4.0, yang mana proses pengkomputeran dan automasi berkembang pantas.


IR4.0 juga membabitkan era Internet of Things (IoT), yang mana peranti pintar saling berhubungan di internet dan kita harus mengikuti dan mengadaptasi teknologi yang dapat membantu meningkatkan tahap OSH.


Penguatkuasaan dan dasar ketat juga perlu diperkenalkan menerusi pengukuhan undang-undang sedia ada, termasuk meminda Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994 untuk membantu negara menghadapi cabaran baharu dalam era IR4.0.


Pekerja pembinaan perlu diberi latihan mencukupi supaya mereka tahu bagaimana mengenal pasti risiko dan mengendalikannya berdasarkan konsep ‘HIRARC’, iaitu Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko.


Pekerja perlu menjalankan pemantauan yang berterusan mengenai aspek keselamatan dan mengenal pasti potensi bahaya untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini.


Latihan pemindahan juga perlu dilakukan sebagai sebahagian pelan pengurusan OSH untuk memastikan pekerja bersedia menghadapi sebarang kecemasan.


Pihak berkuasa berkaitan dalam industri pembinaan juga mesti memastikan kerja pembinaan dijalankan di tapak ini mematuhi spesifikasi ditetapkan pakar.



5 views
bottom of page