top of page

Peranan GLC lebih kecil tak jejas Mah Sing


KUALA LUMPUR: Peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang akan dikurangkan dalam entiti senaraian awam dijangka tidak akan menjejaskan kedudukan Mah Sing Group Bhd.


Pengarah Eksekutif Pelaburan dan Korporat Kumpulan, Datuk Steven Ng Poh Seng, berkata pegangan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam Mah Sing tidak akan terjejas berdasarkan prestasi kukuh syarikat berkenaan.


“Saya tidak pasti kenyataan Perdana Menteri itu terpakai untuk kami. Jika anda cemerlang dan terus berjaya, sudah pasti mereka (pelabur) mahu terus melabur dalam aset yang memberi pulangan yang baik,” katanya pada sidang media sempena persidangan Invest Malaysia 2019 di sini, hari ini.


Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucaptamanya pada persidangan itu berkata, kerajaan sedang menimbang untuk menyenaraikan agensi matangnya ke dalam pasaran saham pada masa hadapan dan mengurangkan pemegangan saham beberapa GLC dalam syarikat senaraian awam.


Rancangan itu adalah untuk memastikan parameter kawalan risiko yang lebih ketat bagi penerbitan Jaminan Kerajaan, akses pasaran yang lebih baik dan mengenal pasti peluang potensi penjanaan wang daripada aset.


Mengulas lanjut, Poh Seng berkata, Mah Sing melihat dasar dan insentif baharu yang diperkenalkan kerajaan akan terus memacu momentum industri hartanah, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.


“Prospek jangka sederhana dan panjang kekal kukuh bagi pembeli hartanah tidak kira segmen beli untuk didiami atau untuk pelaburan jangka panjang.


“Seperti yang kita maklum, industri hartanah kekal sebagai aset pelaburan paling selamat dan pilihan terbaik walaupun berlaku inflasi. Justeru kami percaya, hartanah mampu milik dan terletak di lokasi strategik mempunyai permintaan sangat menggalakkan,” katanya.


Sementara itu, beliau berkata Mah Sing sudah membelanjakan lebih RM6 juta daripada RM28 juta yang diperuntukkan bagi menjayakan inisiatif digital dan meningkatkan keupayaan teknologi syarikat.


Katanya, Mah Sing menerapkan agenda digital di setiap rantaian perniagaannya daripada jualan dan pemasaran, pengurusan pembinaan dan jaminan kualiti serta pengalaman pelanggan dan hubungan dengan pengurusan hartanah.


“Kami memperuntukkan kira-kira RM28 juta bagi tempoh tiga tahun bermula 2017 hingga 2019. Ketika ini kumpulan baru saja membelanjakan lebih RM6 juta bagi tujuan berkenaan.


“Ini baru peringkat awal. Apa yang kami lakukan ketika ini adalah mengurangkan penggunaan kertas dan ia memberi akses yang mudah kepada pelanggan di mana mereka hanya perlu log masuk ke aplikasi untuk melihat projek terbaharu,” katanya.


Pada April lalu, Mah Sing melancarkan aplikasi MY Mah Sing dan menawarkan perkhidmatan bermula dengan menandatangani perjanjian jual beli selepas menerima kunci kediaman pembeli.


Menerusi aplikasi itu, pembeli mampu meninjau kemajuan pembinaan projek kediaman dan sentiasa dikemaskini dengan maklumat terkini mengenai projek terbaharu kumpulan.


Pada November lalu pula, Mah Sing menjadi pemaju pertama di Asia Tenggara untuk bekerjasama dengan Lazada bagi memasarkan projek hartanahnya secara dalam talian.



16 views
EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2024 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page