top of page

Perak serius tangani isu banjir di kawasan berisiko, laksana Projek Tebatan Banjir


Perak serius tangani isu banjir di kawasan berisiko, laksana Projek Tebatan Banjir Astro Awani www.astroawani.com
Gambar hiasan: Perak serius tangani isu banjir di kawasan berisiko, laksana Projek Tebatan Banjir

IPOH: Kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah menjalankan beberapa Projek Tebatan Banjir khususnya di daerah Larut, Matang dan Selama antaranya Projek Tebatan Banjir Sungai Larut Fasa 1.


Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, JPS turut merancang beberapa Projek Rancangan Tebatan Banjir yang menelan kos tinggi dengan menggunakan peruntukan kerajaan persekutuan.

"Hasil korekan tersebut tidak dibawa keluar memandangkan kos pengeluaran pasir melibatkan kos tinggi dan memerlukan kelulusan daripada pejabat daerah dan tanah.


"Namun JPS telah bekerjasama dalam perkongsian pintar dengan pihak Menteri Besar Incoperated (MB Inc.) untuk menjalankan kerja-kerja pengorekan sungai-sungai utama yang diluluskan oleh Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) secara 'blanket'.

"Melalui usaha sama pintar ini hasil korekan sungai akan dijual sekali gus dapat menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan negeri dan dapat mengurangkan masalah banjir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15 di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata Projek Tebatan Banjir merupakan salah satu langkah penyelesaian jangka masa panjang bagi mengurangkan masalah banjir di kawasan yang berisiko.

Katanya lagi, kebanyakan projek tersebut memerlukan kajian lebih terperinci dalam merekabentuk kerana ia menelan kos yang tinggi dan jangka masa panjang.

"JPS bertanggungjawab dalam menyelenggara sungai-sungai bagi mengurangkan masalah banjir yang mana salah satu kaedahnya ialah mengorek pulih sungai dan hasil korekan tersebut akan dijadikan sebagai ban banjir," katanya.

Sementara itu, beliau turut menyentuh isu pembinaan benteng hakisan banjir oleh JPS.

Katanya, pihak JPS mendapati isu hakisan di Kampung Raja Bashah, Kuala Kurau adalah serius dan memerlukan peruntukan yang besar bagi kerja-kerja pemuliharaan tebing Sungai Kurau.

"JPS telah mengemukakan permohonan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di bawah Rolling Plan Pertama (2020), Kedua (2021) dan Ketiga (2022).

"Permohonan tersebut berjumlah RM 23 juta bagi kerja-kerja pemuliharaan tebing dan kawalan hakisan yang melibatkan kawasan Pekan Bagan Serai dan juga Kampung Raja Bashah.

"Status permohonan ini masih dalam pertimbangan diperingkat kerajaan persekutuan tetapi saya akan susul permohonan ini agar mendapat perhatian segera pihak persekutuan," katanya lagi.


Sumber: Astro Awani



2 views

ความคิดเห็น


bottom of page