IPOH: Kerajaan Perak masih dalam proses memperhalusi cadangan Projek Pembangunan Lapangan Terbang Seri Iskandar di daerah Perak Tengah sebagai akses laluan udara yang baharu di negeri itu merangkumi potensi pendaratan pesawat lebih besar dan industri kargo.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri berkata, selaras itu agensi-agensi teknikal yang terlibat telah diarah untuk memberikan maklum balas terperinci berhubung perkara tersebut.
“Seperti yang kita sedia maklum, kelulusan projek ini di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
“Sekiranya bersesuaian dan menepati kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan, projek ini akan diangkat bagi permohonan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13)yang akan datang,” katanya ketika menggulung portfolionya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.
Pada sidang DUN semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Nga Kor Ming mendakwa tanah bagi cadangan pembinaan lapangan terbang itu telah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.
Kor Ming berkata, perbuatan itu dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab tanpa kebenaran Mesyuarat Exco dan perkara itu merupakan salah laku yang cukup serius.
Beliau yang juga Pengerusi DAP Perak dilaporkan mahu pihak yang bertanggungjawab menjual tanah tersebut diheret ke muka pengadilan, tambahan pula ia salah satu janji dalam Manifesto BN pada 2013 tetapi sehingga sekarang masih tidak kelihatan lapangan terbang tersebut.
Menurut Mohd. Zolkafly, cadangan membina Lapangan Terbang Seri Iskandar itu telah diluluskan oleh Mesyuarat Exco pada 28 Februari 2018 melibatkan tujuh tanah milik seluas lebih kurang 478 hektar.
Walau bagaimanapun, jelas beliau, sebahagian tanah itu seluas lebih kurang 188.13 hektar yang juga merupakan tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) telah pun dijual kepada pihak ketiga
Berikutan itu, ujarnya, pihak pentadbiran daerah Perak Tengah pada tahun lalu mencadangkan kepada kerajaan negeri agar dilakukan pindaan lokasi lapangan terbang itu melibatkan enam tanah milik dan satu tanah kerajaan seluas lebih kurang 505 hektar.
Walau bagaimanpun, menurutnya, beberapa plot yang dicadangkan merupakan tanah bermilik dan perlu dibuat pengambilan balik tanah atau diserah balik kepada kerajaan Negeri sekiranya cadangan pembangunan Lapangan Terbang Seri Iskandar dengan pindaan kawasan itu diluluskan.
“Kerajaan negeri sangat komited dan bersungguh-sungguh untuk pembangunan Lapangan Terbang Seri Iskandar yang telah lama tertangguh.
“Dengan wujudnya pembangunan ini dijangka dapat memberi impak tinggi kepada pembangunan sosio-ekonomi di daerah Perak Tengah dan secara tidak langsung dapat mewujudkan limpahan ekonomi ke daerah sekitar seperti Kinta, Manjung, Kuala Kangsar, Hilir Perak dan Bagan Datok dan yang paling penting dapat dijadikan pemangkin yang akan membawa pelaburan tinggi ke daerah dan negeri Perak,” ujar beliau.
Sumber: Utusan Malaysia
Comentarios