top of page

Perak larang bina menara pemancar telekomunikasi atas bangunan


Gambar hiasan

IPOH 20 Mei - Kerajaan negeri telah memutuskan bahawa tiada lagi menara pemancar telekomunikasi akan dibina di atas bumbung bangunan sebaliknya ia perlu didirikan di atas tanah.


Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, pihaknya akan meminta syarikat telekomunikasi untuk mematuhi peraturan itu setelah keputusan tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Penasihat Infrastruktur Telekomunikasi negeri pada 16 Mei lalu.


“Dengan peraturan baharu itu, kita senang untuk memantau tetapi perkara ini kita akan lihat juga dari segi teknikal (dengan merujuk) kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), mungkin mereka pun ada pandangan sendiri.

“Cuma, di pihak negeri kita telah memutuskan tiada lagi menara yang akan dibina di atas bumbung bangunan. Bukan disebabkan bantahan penduduk tetapi kita hendak mengawal supaya tiada lagi menara pemancar haram di atas bangunan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak di Laman Seri Ridzuan di sini hari ini.


Hasnul Zulkarnain berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bantahan oleh hampir 50 penduduk Taman Pusat Bercham di sini terhadap pembinaan pemancar telekomunikasi berhampiran kediaman mereka, baru-baru ini.


Dalam pada itu, Hasnul Zulkarnain turut mengingatkan rakyat negeri ini bahawa kadar radiasi daripada pemancar telekomunikasi tidak memberikan kesan kepada kesihatan mereka kerana ia sangat rendah berbanding radiasi telefon bimbit.


Menurut beliau, perkara itu telah disahkan sendiri oleh Agensi Nuklear Malaysia.


“Oleh itu, saya meminta rakyat untuk memberikan kerjasama terhadap kerajaan negeri bagi menyediakan infrastruktur terbaik dalam bidang telekomunikasi dalam usaha kita menyahut teknologi terkini ke arah capaian 5G.

“Sememangnya kita jangkakan lebih banyak menara pemancar telekomunikasi akan dibina tetapi sudah tentu kita akan mengikut garis panduan ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan juga SKMM termasuk jarak antara rumah,” katanya.



51 views
bottom of page