top of page

Penolong pengurus PAIP ditahan SPRM


Penolong pengurus PAIP ditahan SPRM

SEORANG penolong pengurus Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) antara dua ditahan hari ini kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan projek bernilai RM23 juta di Pahang.


Penolong pengurus berusia 35 tahun itu ditahan 7.30 malam tadi manakala seorang pengurus syarikat swasta berusia 51 tahun ditahan pada 3.50 petang.


Sumber berkata, kedua-duanya ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang di Kuantan selepas dipanggil memberikan keterangan.


“Kedua-duanya disyaki bersekongkol dengan beberapa individu yang direman Jumaat lalu untuk memonopoli projek pembekalan air di Pahang.


“SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap kedua-dua suspek di Mahkamah Majistret Kuantan esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009,” katanya.


Jumaat lalu, empat pegawai kanan PAIP direman empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan kegiatan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan projek bernilai RM23 juta itu.


Ia termasuk seorang pegawai kanan berpangkat ketua pegawai eksekutif (CEO) dan turut direman tiga kontraktor.


Semuanya ditahan dalam satu operasi besar-besaran dikenali Op Cuci dilancarkan SPRM.


Difahamkan, SPRM akan memohon lanjutan reman terhadap tujuh suspek terbabit esok bersama dua yang ditahan hari ini untuk membantu siasatan.


Sumber: Harian Metro


34 views
bottom of page