Seremban: Seorang Penolong Jurutera di Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Seremban dijatuhi hukuman denda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1,000 pada 2013.
Tertuduh, Abdul Halim Abdullah, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Madihah Harullah.
Berdasarkan pertuduhan, Abdul Halim yang bertugas sebagai juruteknik di Pejabat Jurutera Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Seremban menerima wang tunai sebanyak RM1,000 melalui mesin deposit tunai daripada seorang lelaki iaitu pemilik sebuah syarikat kontraktor.
Ia sebagai balasan mempercepatkan urusan memperakukan kerja yang dijalankan syarikat terbabit yang dilantik bagi projek pembinaan Dewan Badminton Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau di Seremban.
Kesalahan dilakukan di Maybank Cawangan Kuala Klawang, Jelebu, pada 8 Februari 2013.
Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan diseksa dengan penjara selama tempoh boleh sampai dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya.
Tertuduh diwakili peguam dari Tetuan Fahmi Zahfri Ashraf & Co dan pendakwaan dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.
Sumber: Harian Metro
Comentários