Penjimatan hingga RM1.1 bilion daripada diskaun 18 peratus tol



KUALA LUMPUR: Pemberian diskaun tol sebanyak 18 peratus mulai 1 Februari ini bagi kenderaan penumpang, bas dan teksi akan membolehkan semua pihak berkaitan meraih penjimatan secara langsung sebanyak RM1.1 bilion tahun ini.


Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata penjimatan berkenaan termasuk RM0.5 bilion daripada diskaun 18 peratus serta penjimatan RM0.6 bilion daripada bayaran pampasan kerajaan untuk membekukan kenaikan kadar tol.


"Bayaran pampasan sebanyak RM0.6 bilion ini tidak lagi digunakan untuk manfaat pengguna lebuh raya dan syarikat konsesi (sahaja), sebaliknya boleh disalurkan kepada projek kebajikan serta pembangunan ekonomi di seluruh negara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Guan Eng berkata, Kabinet semalam mengesahkan keputusan kerajaan untuk menstruktur semula PLUS berdasarkan cadangan yang dikemukakan oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).


“Jemaah Menteri semalam juga mengarahkan supaya satu mesyuarat tergempar diadakan antara semua pemegang taruh pada hari yang sama selepas mesyuarat Jemaah Menteri untuk memastikan keputusan kerajaan mengenai penstrukturan semula PLUS dapat dilaksanakan secara lancar dan baik mengikut garisan masa yang ditetapkan," katanya.


Mesyuarat pelaksanaan yang dipengerusikan beliau turut disertai Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kerja Raya, Datuk Badrul Hisham Mohd.


Turut serta, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia Datuk Ir. Mohd Shuhaimi Hassan; Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan; Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias, serta pegawai-pegawai dari Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya, Khazanah dan KWSP.


Katanya, mesyuarat itu mengesahkan tarikh pelaksanaan penurunan kadar tol iaitu bermula 1 Februari 2020 seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.


Diskaun kadar tol sebanyak 18 peratus akan diberikan kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi (iaitu kelas 1, 4 dan 5 bagi Lebuhraya Utara Selatan termasuk Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Utara Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE) serta kenderaan kelas 2, 3, 4 dan 5 bagi Jambatan Pulau Pinang.


Kadar tol untuk kelas kenderaan komersial akan terus kekal pada kadar tol semasa tanpa peningkatan hingga tamat konsesi tol.


Jumaat lalu, BH melaporkan, kerajaan dianggar dapat menjimatkan RM42 bilion sepanjang tempoh konsesi PLUS Malaysia Bhd (PLUS) selama 38 tahun lagi apabila tidak akan menanggung beban membayar pampasan kepada syarikat itu selepas tempoh konsesi dilanjutkan hingga 2058.


Kerajaan memutuskan untuk tidak menjual PLUS kepada mana-mana pihak dan mengekalkan pemilikan sahamnya oleh Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).


Sumber: Berita Harian


#evolusibina #PLUS

2 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.