Penjara seumur hidup jika sabotaj sumber air Selangor


Gambar hiasan

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memberi amaran hukuman penjara seumur hidup boleh dikenakan terhadap pihak atau individu yang sengaja melakukan sabotaj sehingga menyebabkan pencemaran di sungai-sungai utama di negeri itu.


Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asal Selangor, Hee Loy Sian berkata, pihak terlibat perlu bersedia dengan hukuman tegas yang bakal dikenakan ke atas mereka susulan tindakan tersebut.


Katanya, menerusi perkembangan kes pencemaran di Sungai Selangor sebelum ini, suspek terlibat dituduh di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang merupakan satu hukuman tegas ke atas pesalah.


“Pesalah di bawah seksyen ini akan dikenakan penjara seumur hidup dan oleh sebab itu, saya bagi amaran kepada pihak yang ingin melakukan pencemaran agar berfikir dahulu sebelum bertindak,” katanya pada sidang media pada Majlis Penyerahan Peruntukan Bagi Badan Agama Kristian Selangor di Bilik Majlis Gerakan Ekonomi Selangor (MTES) pada Selasa.


Sebelum ini, dua lelaki menjadi individu pertama berdepan hukuman penjara seumur hidup apabila didakwa atas pertuduhan melakukan sabotaj kepada perkhidmatan air dan lima pertuduhan lain berhubung pencemaran Sungai Selangor.


Kontraktor jalan, R Nathan, 43, dan pengarah sebuah syarikat, Lim Kian Aik, 42, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.


Selain itu, mahkamah turut menetapkan 8 Januari depan sebagai sebutan semula kes.


Dalam pada itu, Loy Sian berkata, menerusi penguatkuasaan fasa kedua operasi premis haram yang dijalankan selepas ini, pihaknya akan memberi fokus di ladang ternakan sekitar Kajang yang menjadi punca kepada pencemaran.


“Kita akan robohkan mana-mana premis yang berpotensi menyebabkan pencemaran di sungai utama sekitar Selangor,” katanya.


Sumber: Sinar Harian

6 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.