top of page

Penilaian risiko banjir elak infrastruktur penting terjejas teruk


Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)
Malaysia dijangka lebih terdedah kepada banjir seperti direkodkan sejak beberapa dekad ini. Kawasan dilanda banjir diunjurkan meningkat berikutan peningkatan paras air laut. - Foto hiasan

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)

BOLEH dikatakan Disember setiap tahun menyaksikan tragedi meragut berpunca bencana banjir dan tanah runtuh. Hakikatnya, bencana berkait rapat bagaimana ia berlaku dan apakah persiapan perlu dibuat terutama oleh pihak berkuasa dan masyarakat.


Justeru, kita perlu melihat kembali bencana alam seperti berlaku antara 18 hingga 19 Disember 2021 di Selangor, Kuala Lumpur dan Pantai Timur Semenanjung.


Dalam kejadian itu, air dikatakan naik sangat cepat hingga ke paras bumbung. Dari sudut pemahaman pakar hidrologi dan jurutera awam, banjir boleh berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya semula jadi dan aktiviti manusia.


Faktor semula jadi seperti hujan lebat melampau, air pasang tinggi dan ribut taufan di perairan laut, manakala aktiviti manusia umpama gangguan sistem saliran dan pembinaan tidak terancang di kawasan lembangan serta dataran banjir. Aktiviti manusia juga memburukkan lagi banjir semula jadi.


Sistem saliran utama sedia ada tidak dapat menampung aliran air boleh menyebabkan banjir. Aliran air dari daratan boleh meningkat apabila berlaku perubahan guna tanah seperti pembinaan perumahan tidak dirancang.


Pembinaan terancang berkait pengurusan lebihan aliran air seperti penambahbaikan dan pembesaran sistem saliran, pengwujudan kolam tadahan atau sistem takungan air bagi merencatkan aliran air ke sistem saliran utama, seterusnya memberi masa dan kapasiti untuk sistem saliran mitigasi banjir berjalan lancar.


Ini juga termasuk pembinaan tidak dibina di kawasan tadahan banjir atau kawasan yang boleh menyebabkan banjir di lokasi lain.


Hujan lebat melampau di negara ini biasanya berkait kejadian Monsun Timur Laut antara November hingga Mac. Namun, ia juga boleh berlaku kesan pertembungan beberapa sistem cuaca seperti Taufan Tropika Rai melanda Filipina pada Disember 2021.


Impak pemanasan global meningkatkan lagi intensiti hujan lebat melampau dan sistem cuaca ini seperti berlaku di Selangor dan Kuala Lumpur dulu.


Pertembungan sistem cuaca mengakibatkan fenomena hujan lebat dan banjir ekstrem dengan jumlah air hujan sehari mencecah hingga 300 milimeter, iaitu bersamaan hujan sebulan di kedua-dua negeri.


Fenomena La Nina bersifat meningkatkan lagi intensiti hujan menjadi kegusaran ahli meteorologi mengenai kemungkinan hujan ekstrem lebih meruncing.


Menurut Profil Negara Risiko Iklim - Malaysia dan Laporan Status 2020 Mengenai Pengurangan Risiko Bencana di Malaysia Antara 1970 hingga 2013 terbitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), negara mengalami peningkatan suhu purata permukaan 0.14 darjah celsius hingga 0.25 darjah celsius setiap dekad.


Impak perubahan iklim

Dengan pemanasan global ini, perubahan iklim berlaku di negara ini akan menyebabkan cuaca ekstrem membawa hujan lebat berkeamatan tinggi ketika Monsun Timur Laut dan sebaliknya, tempoh kemarau lebih panjang serta kering ketika Monsun Barat Daya.


Diunjurkan ketika Monsun Timur Laut, trend hujan melampau dilaporkan meningkat dengan kekerapan hujan lebat lebih tinggi. Keamatan hujan tahunan maksimum meningkat ketara bagi tempoh hujan pendek, iaitu hingga 31 peratus berbanding tempoh 1970 hingga1980.


Tempoh seperti hujan satu hingga enam jam sangat berkait dengan banjir kilat.


Oleh itu, Malaysia dijangka lebih terdedah kepada banjir seperti direkodkan sejak beberapa dekad ini. Kawasan dilanda banjir diunjurkan meningkat berikutan peningkatan paras air laut, mungkin mencecah 0.25 hingga 0.5 meter, menjelang 2100, di Semenanjung dan berpotensi melebihi 1.06 meter di Sabah.


Di bawah senario perubahan iklim terkini, taburan hujan lebih tinggi diunjurkan berlaku pada Disember dalam tempoh 2021 hingga 2060 pada 4 hingga 17 peratus dan 2061 hingga 2100 (14-20 peratus).


Bagaimanapun, unjuran peningkatan jumlah hujan ketika Monsun Barat Daya pada Jun (hingga 22.4 peratus) dan Julai (hingga 21.8 peratus), akan membantu sektor pertanian dan bekalan air negara.


Secara keseluruhannya, ia memerlukan tindakan kesiapsiagaan jangka pendek seperti langkah berhati-hati masyarakat dan agensi respon bencana dengan anggaran tempoh diperlukan adalah beberapa bulan sebelum musim monsun.


Tidak harus dilupakan juga kesiapsiagaan jangka panjang merangkumi pelan tindakan, dasar dan program mitigasi serta pengurangan risiko banjir oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemegang taruh dengan anggaran kesiapsiagaan diperlukan boleh jadi bertahun-tahun tetapi bergantung peruntukan tahunan negara.


Antara kesiapsiagaan jangka panjang adalah mengenal pasti lokasi risiko banjir melalui peta risiko yang dapat menunjukkan lokasi bahaya ditambah dengan maklumat skala impak kepada orang awam atau infrastruktur.


Maklumat risiko ini diperlukan pelbagai pihak termasuk pemaju, PBT dan agensi terbabit untuk membantu keputusan dan perancangan pembangunan supaya tidak memburukkan keadaan, selain mengatur pelan tindakan mengurangkan risiko banjir masa hadapan.


Tingkat daya tahan binaan

Justeru, Construction Research Institute of Malaysia (CREAM) sendiri melalui geran Lembaga Pembangunan Pembinaan Malaysia (CIDB) membina Garis Panduan Penilaian Risiko Banjir (FRA) dan Indeks Kerentanan Banjir (FVI) untuk infrastruktur kritikal.


Dengan kerjasama PBT, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), PlanMalaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), konsultan dan akademik, Garis Panduan FRA dan FVI dibentuk dengan mengambil kajian kes Sungai Pinang, Pulau Pinang.


Tujuannya, meningkatkan daya tahan persekitaran binaan melalui pemahaman risiko banjir kepada bangunan dan infrastruktur serta memahami isu dan kesiapsiagaan bagi pengurangan risiko bencana (DRR); selain mengarusperdanakan DRR ke dalam perancangan, reka bentuk, pembinaan dan penyelenggaraan.


Penekanan diberikan kepada mengenal pasti lokasi kritikal terdedah kepada kemungkinan banjir dan akan mengganggu infrastruktur kritikal yang perkhidmatannya amat penting kerana sebarang gangguan boleh mengakibatkan kesan serius dan berpanjangan kepada ekonomi serta masyarakat.


Apabila pembangunan mengambil kira faktor risiko banjir ini, pelan tindakan seperti pembinaan struktur mitigasi banjir baharu, sistem amaran awalan banjir dan pelan kesedaran masyarakat terutama penduduk sekitar terhadap pendedahan dan kesiapsiagaan risiko banjir dapat dilakukan.


Kesiapsiagaan menghadapi banjir sudah tentu perlukan tanggungjawab semua lapisan masyarakat termasuk individu yang perlu bertanggungjawab bagi kesejahteraan dan keselamatan diri sendiri serta masyarakat sekeliling. Sudah sampai masanya, aspek perancangan awal perlu diambil berat sebelum membuat keputusan penting sesebuah pembangunan yang impak dan risikonya akan ditanggung rakyat.


Mohd Khairolden adalah Pengurus (Perundingan Industri Pembinaan), Construction Research Institute of Malaysia (CREAM), manakala Nor Eliza adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan Air dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)


Sumber: Berita Harian


Comments


bottom of page