top of page

Pengurangan peruntukan projek pembangunan akan jejaskan ekonomi negara - Mustapa


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Peruntukan perbelanjaan pembangunan di bawah Belanjawan 2021 bagi projek pembinaan tidak boleh dikurangkan kerana ia akan beri impak kepada kitaran ekonomi negara dan rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.


Beliau berkata lebih 40 peratus projek pembangunan Belanjawan 2021 merupakan projek sambungan iaitu projek yang telah separuh siap seperti pembinaan sekolah, hospital dan lebuh raya.


Sekiranya projek-projek tersebut dihentikan, ia akan beri kesan kepada rakyat, katanya.


"Kerajaan tidak mempunyai pilihan untuk potong kerana ia tidak munasabah. Saya yakin rakyat akan faham, yang penting kita kena jelaskan kepada mereka bahawa sukar bagi kerajaan untuk memotong peruntukan ini kerana projek sudah ada," katanya dalam program Soal Rakyat yang disiarkan di TV3, pada Sabtu.


Beliau berkata demikan bagi menjawab soalan mengapa kerajaan tidak menangguhkan projek-projek pembinaan dan menyalurkan peruntukan pembangunan tersebut kepada hal-hal lain yang memerlukan tumpuan lebih seperti menangani pandemik COVID-19.


Mustapa berkata tindakan mengurangkan perbelanjaan pembangunan akan turut menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara kerana kira-kira 200 sektor lain termasuk arkitek, peguam, institusi perbankan, kedai perkakasan, dan jururunding, bergantung kepada sektor pembinaan.


"Mengambil contoh Belanjawan 2019, kerajaan telah mengurangkan peruntukan sektor pembinaan, banyak pihak profesional telah kehilangan sumber pendapatan.


"Sektor pembinaan mempunyai faktor pengganda yang cukup besar, ia akan beri kesan buruk kepada banyak pihak dan ribuan kontraktor akan hilang kerja," katanya.


Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM322.5 bilion atau 20.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar untuk Belanjawan 2021, meningkat daripada jumlah peruntukan perbelanjaannya untuk tahun 2020, yang telah disemak secara menaik menjadi RM314.7 bilion daripada anggaran peruntukan awal RM297 bilion.


Daripada jumlah untuk Belanjawan 2021, RM236.5 bilion (73.3 peratus) akan disalurkan ke perbelanjaan operasi, RM69 bilion (21.4 peratus) kepada perbelanjaan pembangunan dan RM17 bilion (5.3 peratus) kepada tabung COVID-19. -- BERNAMA


Sumber: Astro Awani

75 views
bottom of page